Jadi Mangsa Kecaman Penyokong Zionis, Uyaina Arshad Mohon Kaka Azraff Terus Kuat – “Ini Sebahagian Daripada Jihad…”

Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad meluahkan rasa simpati terhadap nasib penyanyi, Kaka Azraff yang menjadi mangsa kecaman penyokong Zionis di media sosial.

Memetik laporan Utusan, Uyaina memberitahu perkara yang dilalui Kaka itu merupakan risiko yang terpaksa ditanggung kerana lantang bersuara tentang isu Palestin.

Malah, dia juga menerima kecaman yang sama disebabkan berani bersuara tentang kekejaman Zionis terhadap saudara di Palestin.

“Kepada Kaka, jangan rasa demotivated. Ini adalah sebahagian daripada jihad.

“Yang penting kita tahu niat sebenar kita untuk beri kesedaran kepada orang ramai dan menjadi suara kepada yang tidak mampu untuk bersuara.

“Saya rasa tak ramai orang yang berani untuk lantang bersuara seperti Kaka. Saya harap dia terus kuat,” katanya.

Sementara itu, Uyaina akui terdapat segelintir golongan selebriti dan pempengaruh yang berasa takut untuk bersuara kerana bimbang akan menjejaskan pendapatan mereka.

“Macam saya, akaun TikTok saya telah disekat. Tipulah kalau saya tak rasa sayang. Tetapi tak mengapa. Akaun boleh buat yang baru.

“Tetapi kita tak boleh nafikan bahawa ada saja individu yang bergantung dengan akaun media sosial untuk menjana pendapatan.

“Disebabkan itu mereka jadi takut untuk bersuara mengenai isu Palestin,” ujarnya.

Tetap pendirian bersolidariti bersama Palestin, Uyaina turut menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana jenama dan produk yang berkaitan dengan Israel.

“Ada antara kerjasama sebelum ini yang menyaksikan sesi penggambarannya telah pun siap. Cuma tunggu untuk muatnaik sahaja di media sosial. Tetapi saya rasa tidak sesuai untuk dikongsikan ketika Palestin sedang berperang.

“Maka saya beritahu pihak berkenaan, bahawa saya tak boleh teruskan. Syukur Alhamdulillah mereka faham dengan situasi saya,” jelasnya.

Maya Basir