Jaga Nama Baik Suami & Keluarga, Ain Edruce Takkan Kongsi Foto Terlalu Seksi

Pelakon dan pengacara, Ain Edruce mendedahkan dia memilih untuk tidak berkongsi foto dirinya yang dianggap terlalu seksi di media sosial.

Ain atau nama lengkapnya Nurulain Edruce, 31, berkata tindakan itu dilakukan demi menjaga nama baik suami dan keluarganya.

“Saya adalah sejenis yang memikirkan sesuatu terlebih dahulu sebelum memuat naik apa-apa perkongsian di media sosial, saya akan fikirkan tentang ibu ayah dan keluarga saya.

“Sebagai contoh, kalau pergi ke mana-mana acara, jika pakaian itu terlalu seksi saya tidak akan kongsi di media sosial supaya tidak menjadi bualan mulut orang terutama netizen di luar sana.

“Hal itu saya lakukan demi menjaga nama baik keluarga dan suami, saya tidak mahu nama baik keluarga saya diperkatakan,” ujarnya.

Pengacara Melodi TV3 itu juga berpendapat warganet tidak boleh melemparkan kata-kata dengan melulu sekiranya selebriti melakukan kesilapan dan mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang salah guna media sosial.

“Netizen di luar sana pasti akan mengambil peluang untuk berkata buruk seandainya ada artis berpakaian seksi atau melakukan salah, itu tidak baik.

“Mungkin netizen berani berkata yang tidak elok disebabkan mereka tidak tahu bahawa undang-udang salah guna media sosial itu wujud.

“Seandainya mereka sedar tentang hal itu, pasti mereka akan lebih berhati-hati dalam melontarkan kata-kata atau meninggalkan komen-komen yang agak sensitif,” tambahnya.

Sumber: Gempak

Khairil Khusyairi