Ketika dunia meratapi pemergian lagenda bola keranjang dunia, Kobe Bryant (41) dan anaknya Gianna Maria Onore (13) yang maut dalam nahas helikopter pada Ahad lalu, selebriti Hollywood Jennifer Lopez juga tidak terkecuali.
Jennifer, menerusi entri di akaun Instagramnya berkata dia amat bersedih dengan berita tersebut dan tidak boleh membayangkan perasaan isteri Kobe, Vanessa yang kehilangan suami dan anak pada waktu yang sama.
Pada waktu kejadian, Kobe dan Gianna sedang dalam perjalanan ke latihan bola keranjang anaknya di Mamba Sports Academy di Thousand Oaks sebelum helikopter mereka terhempas di kawasan berbukit di Calabasas, California.
Baca: Kobe Bryant Dan Anak Maut Dalam Nahas Helikopter
“Semasa saya melihat gambar-gambar di laman Instagram milik Kobe, saya dan Alex bercakap tentang kenangan dan momen yang kami ingat tentangnya…Keluarga adalah segalanya.
“Kami semua amat berdukacita dengan kehilangan ini tetapi apa yang kami dirasai tidak dapat dibandingkan dengan apa yang Vanessa sedang lalui pada saat ini.
“Perkara yang paling tidak adil dalam hidup ini adalah apabila kehilangan seorang anak dan suami pada hari yang sama.
“Vanessa, saya doakan kamu tabah dan supaya Tuhan sentiasa membimbing kamu pada setiap langkah untuk mengharungi kedukaan yang tidak dapat dibayangkan ini.
“Kepada semua keluarga yang terlibat di dalam tragedi ini, semoga Tuhan sentiasa bersama kamu semua. Kobe, kamu amat bermakna kepada ramai orang dan kami akan merindui kamu buat selamanya,” coret Jennifer sebagai kapsyen.
Kobe yang berkahwin dengan Vanessa Laine pada 2001 mempunyai empat orang anak perempuan hasil dari perkahwinan mereka. Selain Gianna atau nama manjanya ‘Gigi’ yang turut maut bersamanya di dalam nahas terbabit, Kobe meninggalkan Natalia Diamante Bryant, Bianka Bella Bryant da Capri Kobe Bryant atau dikenali sebagai ‘Koko’ yang baru sahaja berusia 7 bulan.
Kredit Foto: Instagram @jlo