Josiah Hogan ‘Berkira’ Terima Tawaran?

Komitmen selama lima bulan ketika menjalani penggambaran filem Wira arahan Adrian Teh bulan lalu membuatkan pelakon, Josiah Hogan agak berkira-kira untuk mengambil ‘job’ baru dalam masa terdekat.

“Selama satu bulan puasa ini, saya lebih banyak habiskan masa bersama isteri dan anak-anak.

“Saya rancang nak berehat seminggu raya ini, selepas itu barulah kembali bekerja macam biasa,” kata Josiah.

Josiah yang menetap di Kuantan dan sering berulang alik ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja, berkata dia tetap akan pergi ke sesi uji bakat seperti biasa.

Katanya, proses uji bakat sangat penting bagi seorang pelakon kerana ia akan membuka ruang pengenalan kepada pelakon dan pengarah, selain mencari keserasian perwatakan yang bakal dipegang.

Selain menantikan filem aksi Wira, dia juga bakal muncul dengan filem KL Vampire dan drama Mimpi Sabrina untuk saluran Samarinda yang dijangka ditayangkan tahun ini.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida