Julia Farhana Menangis Sukar Kekal Berhijab, Suami Pesan Jangan ‘Patah Balik’ – “Harus Ubah Seluruh Gaya Hidup…”

Pelakon Julia Farhana mengakui tidak mudah baginya untuk kekal istiqamah lebih-lebih lagi baru mencuba untuk mengenakan hijab.

Memetik laporan Utusan, dia memberitahu berhijab bukan semata-mata perlu pakai tudung tetapi dia harus mengubah seluruh gaya hidup yang patuh dengan syariah.

“Pertama kali bertudung adalah ketika Ramadan, waktu itu iman di fasa yang sedang kuat. Namun bila habis Ramadan, tidak tahu mengapa tiba-tiba ia menjadi sangat sukar.

“Bila bertudung, ia bukan hanya tentang ubah cara pakai baju. Tapi harus ubah seluruh gaya hidup seperti jaga solat, jaga cara percakapan dan pergaulan.

“Percayalah, ia sangat sukar,” katanya.

Sementara itu, pelakon berdarah campuran Melayu-Itali ini kekal berhijab selama ini disebabkan sokongan yang diterima daripada suami, Dr Mohammad Che Hafiz Che Ibrahim.

“Kadang saya menangis depan suami saya sebab sukarnya untuk kekal istiqamah bertudung.

“Kalau tiada suami saya, saya tidak tahu apa akan jadi dengan saya sebab dia yang akan ingatkan saya tentang nikmat hasil daripada setiap kesabaran.

“Dia juga pesan, saya sudah berjalan sejauh ini, oleh itu jangan patah balik. Dia akan ajak berzikir dan baca al-Quran bersama,” jelasnya.

Selain itu, Julia berpesan kepada orang ramai untuk tidak menghakimi perjalanan hijrah seseorang artis.

“Kita jangan sesekali cuba menghakimi perjalanan hidup seseorang. Lebih baik kita amalkan untuk mendoakan yang baik-baik kepada sesiapa sahaja yang sedang berusaha menjadi lebih baik.

“Hanya kerana dia seorang selebriti dan menjadi pusat perhatian, tidak semestinya dia perlu tampil sempurna sentiasa.

“Ujian ini dilakui banyak orang, tidak hanya selebriti,” ujarnya.

Terdahulu, pada Mac, Julia sudah mengenakan hijab dan memadam gambar-gambar lama yang tidak bertudung di Instagram miliknya.

Maya Basir