“Kalau Nak Kata Cantik, Itu Subjektif…Saya Dulu Pun Cantik!” – Ellie Suriaty Idam Pelakon Baharu Berbakat, Tidak Malas

Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty berkongsi pendapatnya mengenai kemunculan ramai pelakon baharu dalam industri hiburan tempatan.

Namun, kemunculan pelakon pelapis kali ini bukanlah mudah kerana agak mustahil untuk jumpa ramai orang yang berbakat dalam satu masa.

Ellie, 52, berkata, jika ada segelintir pihak yang lebih memilih rupa paras berbanding bakat, maka kecantikan itu adalah subjektif baginya, kerana percaya bakat adalah kunci utama buat pengamal industri kreatif selain ia adalah anugerah dari Allah.

“Bakat adalah anugerah Allah, Ia sangat khusus pada orang tertentu. Jadi saya tidak melihat kepada paras rupa kerana ia subjektif. Kalau cakap cantik ke tidak saya dulu pernah cantik masa muda dan lawa.

“Namun, disini bukan hal cantik tapi saya lihat ada kelemahan di bahagian penghasilan skrip. Ia wajar dipelbagaikan untuk beri ruang pekerjaan dalam industri seni buat mereka yang berbakat,” katanya.

Sementara itu, pelakon yang berbakat mestilah menjadi orang yang tidak malas kerana semuanya perlu bergerak seiring.

Lantas mendedahkan pihak stesen televisyen juga haruslah memainkan peranan penting kerana, tidak semua pelakon baharu yang memiliki bakat turut mempunyai jumlah followers yang ramai.

“Sekarang banyak artis dan bakat baru yang ada macam cendawan tumbuh. Tapi, bakat boleh diasah sebenarnya. Mana boleh dapat sekali gus serentak.

“Pihak TV pun kena main peranan. Kalau pengikut ramai di media sosial, tidak bermaksud seseorang itu benar-benar berbakat. Pula itu jika hanya berpaksikan pada rupa paras semata. Tak bolehlah cop dah boleh berlakon jadi hero atau heroin,” jelasnya.

 

 

Sumber:Utusan

Salma Syahbuddin