“Kalau Terjumpa & Terserempak, Okay Alhamdulillah” – Nora Danish Dah Lama Baik Dengan Fasha Sandha

Aktres jelita Nora Danish mengakui hubungannya bersama pelakon Fasha Sandha sudah lama baik.

Menurut laporan Harian Metro, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif berkata, tiada apa yang perlu dijadikan isu antara mereka kerana sudah lama berlalu.

Malah, pelakon filem Polis Evo ini tiada masalah sekiranya bersua muka dan terserempak dengan Fasha dalam mana-mana acara.

“Sebenarnya, hubungan saya dengan dia (Fasha) memang dah lama okay.

“Tapi, bila berjumpa, berjumpalah. Tak adalah ‘plan’ sampai nak berjumpa, tapi kalau terjumpa, terserempak, okay Alhamdulillah.

“Tak ada apa dah (nak diingat lagi), benda pun dah lama dah,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua pelakon popular ini bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian saman fitnah antara mereka secara baik di luar mahkamah.

Bagaimanapun, ketika sambutan Aidilfitri tahun ini, kedua-duanya bergambar bersama ketika berkunjung dan berkumpul di kediaman bekas keluarga mentua mereka, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, pada April lalu yang menjadi perhatian ramai.

Untuk info, Nora pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 sebelum bercerai pada 10 Julai 2008. Mereka dianugerahkan anak lelaki, Putra Rayqal.

Fasha juga pernah mendirikan rumah tangga bersama Jejai pada 27 April 2012 dan berpisah pada Januari 2016. Mereka dikurniakan dua anak, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi