“Kami Berdarah Kacukan” – Selepas 10 Bulan Solo, Siti Saleha Akhirnya Temui Pengganti?

Pelakon cantik, Siti Saleha mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seseorang selepas hampir setahun menjalani kehidupan solo.

Siti Saleha atau nama lengkapnya Siti Saleha Mohd Baharum, 32, berkata ketika ini dia masih dalam fasa mengenali hati budi sesorang dan akan mendedahkan jejaka pilihannya itu jika sudah bersedia kelak.

“Jika saya bersedia, nanti saya kongsi di Instagram.

“Kenalan rapat saya juga tahu walaupun saya tak kongsi gambar tapi mereka tahu nanti saya akan dedah wajah dia,” katanya ketika ditemui XTRA.

Disoal lebih mengenai kisah cintanya itu, Siti Saleha mendedahkan ‘teman lelaki’ itu juga berdarah kacukan sama seperti dirinya malah menyifatkan jejaka itu seorang yang baik.

“Tiada yang serius. saya bersedia untuk berkawan. Dia seorang lelaki yang baik.

“Sama sahaja, kami berdarah kacukan, kami orang putih,” ujarnya.

Mengulas mengenai penampilannya yang kini dilihat semakin ‘seksi’, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu berkata dia hanya menjadi dirinya sahaja.

“Saya pandai jaga diri, saya pun dah 32 tahun, saya dewasa.

“Inilah saya, ibu bapa saya pun tak bercakap apa-apa. Kalau tak suka tak apa, saya tidak kisah,” jelasnya.

Siti Saleha ditemui pada tayangan perdana drama siri Hilang terbitan perkhidmatan video over-the-top, Viu Malaysia di DADI Cinema, Kuala Lumpur, semalam.

Membawakan watak Wangi sebagai seorang wanita cacat penglihatan dalam drama siri Hilang, Siti Saleha mengakui teruja dalam menjayakan watak itu dengan menjengah komuniti cacat penglihatan di ibu kota.

“Saya memerhati bagaimana cara mereka berjalan dengan menggunakan tongkat dan mengurut dan saya rasa syukur dengan apa yang saya ada berbanding mereka.

“Saya tak boleh bayangkan jika berada dalam situasi mereka tapi saya betul-betul hargai mereka,” cerita Siti Saleha.

Hilang yang dibintangi Khir Rahman, Siti Saleha, Aqasha dan Jasmine Suraya kini boleh ditonton di platform penstriman Viu mulai 17 November 2022 dengan dua episod baharu pada Khamis minggu seterusnya.

Khairil Khusyairi