Kemenangan Melur Untuk Firdaus Buat Peminat, Anna Jobling & Meerqeen Kongsi Momen Manis

Pelakon Anna Jobling dan Meerqeen telah memenangi trofi kategori Pasangan Terbaik untuk Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang berlangsung semalam di Putrajaya.

Bukan itu sahaja, drama yang melonjakkan nama mereka berdua iaitu Melur Untuk Firdaus turut memenangi kategori Drama Adaptasi Novel Terbaik.

Menurut Meerqeen, kemenangan mereka adalah untuk peminat yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri.

“Anugerah ni bukan untuk kami tapi untuk mereka yang mengundi untuk kami.

“Saya tak banyak kongsikan aktiviti saya bersama peminat sebab pada saya, peminat adalah keluarga saya dan kami ada privasi masing-masing.

“Saya dengan Anna banyak dapat hadiah, mereka selalu hantar foodtruck bawa makanan semua dan hampir setiap hari mesti ada hadiah dekat set penggambaran. Macam birthday hari-hari,” katanya.

Disoal sama ada mereka akan bosan kerana sering digandingkan bersama, Anna menyangkal kenyataan dengan memberitahu dia tidak ada masalah selagi peminat mahu lihat mereka bersama.

“Kami tidak akan bosan selagi penonton dan peminat tak bosan tengok muka kami,” ujar Anna sambil ketawa.

Maya Basir