Kes Saman Fitnah Siti Nordiana Terhadap ‘Lima Sekawan’, Lan Solo & Syura Sedia Beri Kerjasama – “Hitam Jangan Dikeji, Putih Jangan Anggap Suci”

Penyanyi Lan Solo akui sudah bersedia untuk memberi kerjasama dalam perbicaraan panjang kes saman fitnah yang difailkan oleh penyanyi Siti Nordiana.

Menurut laporan mStar, pemilik nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof itu sedia turun naik mahkamah serta mengikut arahan peguam dilantik bagi mengurus kes tersebut.

“Kalau itu yang terbaik, saya hanya ikut saranan.

“InsyaAllah kita akan beri kerjasama yang baik dari segi pengurusan masa,” kata Lan.

Dalam pada itu, pelantun lagu Berpisah Tanpa Rela ini enggan mengulas lanjut apakah kes mahkamah tersebut memberi kesan terhadap kariernya.

“Yang itu (beri kesan kepada karier) kena tanya peguam saya,” tambahnya.

Menurut penyanyi Syura atau nama lengkapnya Zuraidah Badron pula, dia hanya menuruti apa sahaja tindakan peguam biarpun ia pastinya mengambil tempoh yang panjang.

“Kita hanya mengikut apa yang terbaik. Kita pun dah ada peguam. Jadi mereka lebih profesional untuk tahu apa yang lebih baik untuk kami.

“Setakat ini, saya ikut sahaja flow. Tiada masalah,” ujarnya.

Menjengah ke profil Instagram Lan Solo, dia juga ada memuat naik foto bersama isteri dan Syura serta peguam di mahkamah semalam.

“Hitam jangan dikeji, putih pula jangan dianggap suci…biru..? Face mask aku la,” tulis Lan.

Kes tersebut pada awalnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen namun telah dipindah dan dimulakan semula di Mahkamah Tinggi atas arahan hakim.

Pada hari perbicaraan semalam, pengurus Siti Nordiana iaitu Mohammad Al Anas Osman mendedahkan lima defendan yang memburukkan nama dan imej penyanyi itu banyak kali membuat siarang langsung bagi tujuan menyindir.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Sekali ‘Lima Sekawan’ Buat Live Sindir Nana – Pengurus Siti Nordiana

Terdahulu, Siti Nordiana, 39, memfailkan saman sebanyak RM2.5 juta itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021, dan menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 11.58 malam 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi