“Kita Makin Sakit Terutamanya Orang Melayu” – Erma Fatima Anggap Drama Lelaki Itu Bukan Cerita Biasa

Pengarah dan penerbit drama popular, Erma Fatima menegaskan, dia mempunyai banyak cerita berkaitan realiti kehidupan masyarakat.

Katanya ketika ditemui XTRA, Erma bagaimanapun bimbang kerana pihak stesen televisyen kurang berminat untuk menyiarkannya memandangkan mesej yang bakal diketengahkan agak serius dan berat.

“Satu benda keperitan yang sakit saya rasa apabila saya buka media sosial, sebab sebenarnya ada banyak cerita yang saya nak buat. Kisah masyarakat adalah realiti yang berlaku di luar sana.

“Tapi, dibimbangi stesen televisyen saja yang tak nak. Sebab ia terlalu serius. Contohnya isu moral di luar sana, kita makin sakit, makin parah terutamanya orang Melayu.

“Macam contoh, bapa rogol anak atau anak pukul mak bapak. Saya selalu kalau nak buka media sosial atau cerita seperti itu selalu berharap ia tidak dilakukan oleh orang Melayu dan beragama Islam, tapi hakikatnya. Saya mampu cakap Allahuakbar sahaja,” ulasnya.

Erma berkata demikian ketika sidang media drama Lelaki Itu yang diadakan di Sri Pentas, TV3 baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, sebagai seorang pengarah dan penerbit juga,  Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 56, cuba untuk mengangkat dan mengetengahkan kesedaran apakah yang boleh diberikan kepada orang di luar sana, memandangkan isu moral dan akidah masyarakat sekarang ini semakin ‘sakit’.

“Tidak semua stesen televisyen nak terima kisah-kisah masyarakat sebegitu. Apapun, saya amat bersyukur pada Allah apabila TV3 ambil drama Lelaki Itu untuk disiarkan.

“Saya sangat bersyukur sebab saya boleh kata drama Lelaki Itu bukan cerita seperti Akasia, ini bukan cerita biasa-biasa yang kalian pernah tengok, percayalah cakap saya.

“Selepas episod sembilan nanti, kalian sebagai penonton akan tahu kenapa saya cakap begitu dan saya sangat terkejut apabila TV3 terima naskhah ini memandangkan isunya berat dan ceritanya serius, bukan ringan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Erma berharap agar pihak stesen televisyen memberi peluang kepada drama-drama ‘berat’ dihasilkan pengkarya seni untuk disiarkan dan dipertontonkan kepada masyarakat.

Sekadar info, drama 30 episod yang dibintangi pelakon hebat seperti, Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf, Hannah Delisha, Nadia Brian dan Sophia Albarakbah itu sudah mula menemui penonton sejak 19 Mac lalu.

Salma Syahbuddin