Konsert Transcendence Hadiah Butterfingers Untuk Peminat

Butterfingers dianggotai Emmett (vokal), Kadax (bass), Loko (dram) dan LoQue (vokal/gitar/keyboard) bukan nama yang asing buat peminat muzik rock dan grunge pada lewat 90-an dan awal 2000.

Selepas kali terakhir membuat persembahan “terpotong sekerat jalan” pada tahun 2016, kini mereka kembali untuk meraikan sambutan ke-20 tahun album Transcendence iaitu antara hasil karya terbaik mereka sepanjang kembara seni mereka sejak 1996 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November ini.

Pertemuan ini pasti akan menggamit memori dan menghidupkan kembali kegemilangan muzik rock dan grunge buat para peminat dan secara tidak langsung, memperkenalkan genre ini buat mereka yang masih belum mengenali.

 

 

Konsert Transcendence 20 Tahun ( 20th Year Anniversary) ini akan dikuasakan bersama Festival Selangor Youth Republic 2019 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Penerbitan Pancasona.

“Idea ini telah lama diperap dan sekarang merupakan masa terbaik untuk menjayakannya. Jika diingat kembali ketika persembahan kami di Festival Rockaway pada tahun 2016, di mana persembahan kami disekat oleh pihak polis dan sekaligus menimbulkan kemarahan serta kekecewaan para peminat yang menantikan kami.

“Maka persembahan kali ini adalah untuk menebus semula hutang tersebut dengan memainkan hanya lagu-lagu grunge kami sekurang- kurangnya 2 jam tanpa sebarang gangguan seolah-olah anda berada semula di zaman lewat 90-an.

“Buat peminat- peminat “susah mati” Butterfingers di luar sana, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang seumur hidup ini,” kata LoQue.

LoQue berkata, 20 tahun lalu , ketika Butterfingers membuat persembahan “The Last War” di Stadium Malawati, sebelum lagu The Faculties of The Mind dimainkan, Emmett berkata I hate the lights, I don’t want to be a star.

“Oleh itu, saya merasakan Stadium Malawati merupakan tempat yang mempunyai nostalgianya yang tersendiri dan saya mahukan momen sedemikian untuk dihidupkan kembali, seperti sebuah “re-enactment” yang gilang – gemilang!” katanya lagi.

Kadax pula berkata, ini adalah berita baik untuk peminat Butterfingers yang selalu menanyakan khabar tentang konsert, “bila next show”?, “Tak ada reunion ke”?

Tiket dijual bermula dengan harga RM150 (tidak termasuk caj- caj lain) dan akan diumumkan secepat mungkin.

Buat masa sekarang , sila ke FACEBOOK PAGE- Butterfingers dan juga Instagram Rasmi Butterfingers – Butterfingers.my untuk maklumat seterusnya!

Oleh: Azalea Danea

Del14