Kontroversi Bukan Punca Putus Cinta, Intan Najuwa Kembali Solo

Pelakon Intan Najuwa menafikan kontroversi yang melandanya tahun lalu berkait dengan punca hubungannya bersama kekasih terkandas.

Intan ketika ditemui di sidang media kempen Ramadhan Raya Setulus Ikhlas TV3 memberitahu dia kini kembali solo sejak setahun lalu.

“ Tiada jodoh, itu sahaja yang saya boleh katakan. Banyak benda saya belajar dari hubungan lepas.

“ Selepas ini saya mungkin lebih tertutup dalam berkongsi hal peribadi. Punca putus kerana tiada keserasiaan bukan disebabkan isu yang melanda hidup saya dahulu,” katanya.

Tahun lalu, pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini mengejutkan peminat dunia hiburan apabila dia dikehendaki polis bagi menjadi saksi perbicaraan membabitkan kes dadah.

Sementara itu, Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid memberitahu tidak meletakkan sebarang spesifikasi dalam mencari pasangan hidup.

“ Cukuplah jika dia boleh membuatkan saya menjadi wanita lebih baik di masa akan datang dan dapat membimbing saya,” akhirinya.

SGMS Faida