Kredibiliti Jadi Peserta Dipersoal, Ini Respons Padu Shila Amzah – “Saya Masuk Bukan Sebab Duit, Tapi…”

Setelah ramai yang mempersoalkan penyertaannya dalam satu program nyanyian, penyanyi Shila Amzah akhirnya tampil menegaskan bahawa, bukanlah duit yang menjadi taruhannya untuk menyertai pertandingan tersebut.

Memetik laporan Berita Harian, Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah, 32, berkata, tujuan penyertaannya itu adalah untuk mengembangkan bakat nyanyiannya apatah lagi ia merupakan platform yang baik untuk belajar perkara baharu.

“Saya masuk tu bukan sebab duit. Saya hanya melihat program ini boleh dijadikan platform yang sesuai untuk seorang penyanyi berkarya.

“Sebelum ini, pertandingan yang melibatkan saya mempunyai konsep yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, Shila juga memaklumkan, ia bukanlah perkara yang mudah kerana pertandingan yang disertainya ini melibatkan komitmen yang tinggi terutamanya dalam memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu.

“Sebagai penyanyi saya akan menampilkan persembahan terbaik dan mencabar kreativiti diri sendiri. Dan, sebagai penyanyi ia dapat membantu untuk saya lebih yakin. 

“Jika nak cakap pasal kritikan, saya sudah lalui pelbagai jenis kontroversi. Jadi saya tidak kisah dikritik dari segi nyanyian kerana lebih baik dikritik soal kerja berbanding melibatkan perkara peribadi,” jelasnya.

Selain itu, pelantun lagu Patah Seribu ini juga mengakui penyingkiran adalah perkara yang paling digeruninya namun, tetap berbangga jika dirinya itu dapat meneruskan perjalanan sehingga ke peringkat akhir.

“Perkara yang paling saya takut, adalah penyingkiran. Jika boleh, saya nak elak perkara ini berlaku.

“Namun, seandainya tewas saya tetap berbangga dengan pencapaian diri apatah lagi saya merupakan peserta yang paling muda,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin