“Lelaki Kalau Dengar Nama Saya Semua Risau…” – Raja Azura

Pengacara dan pelakon popular, Raja Azura mengaku ramai lelaki yang cuba mendekatinya namun mula menghilangkan diri sebaik sahaja mengetahui dia mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu dipikul.

Katanya memetik laporan Harian Metro, walaupun sudah bergelar ibu tunggal sejak 14 tahun lalu, dia merasakan tiada lelaki yang berani menganggunya.

“Ada yang cuba mendekati, tapi perlahan-lahan mula berundur dan menghilangkan diri sebab tak mampu nak jaga saya yang banyak tanggungjawab dan komitmen.

“Semua anak saya sedang menyambung pengajian di universiti dan memerlukan wang belanja yang besar untuk membayar yuran universiti mereka. Kemudian saya dikelilingi dengan banyak hutang yang tak habis bayar lagi serta tanggungjawab saya kepada ibu yang tinggal bersama.

“Lelaki kalau dengar nama saya, semua risau sebab wajah dan perangai saya umpama ‘sesumpah’,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Raja Azura atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku menolak dakwaan, kononnya dia sengaja meraih perhatian susulan foto dan video memperlihatkan dirinya seolah-olah sedang melangsungkan perkahwinan tular.

“Saya tiada niat nak raih perhatian atau tenggelamkan perkahwinan sepupu saya. Ramai yang salah sangka dengan video yang saya kongsikan walaupun di ruangan kapsyen saya sudah nyatakan perkataan ‘dari dia bersendirian, kini telah berdua’.

“Berita pernikahan itu turut mendapat perhatian anak-anak saya kerana mereka sedang menduduki peperiksaan. Saya memilih untuk tidak menjawab pada ketika itu sebab sedang sibuk uruskan perkahwinan sepupu.

“Cuma bila kisah itu tular saya rasa sangat terharu dan dihargai oleh peminat dan pengikut yang tidak henti mengirimkan doa yang baik-baik buat saya,” katanya.

 

Sekadar info, bekas pengacara Melodi ini pernah berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001.

Bagaimanapun pasangan ini sah bercerai pada 28 September 2010. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 22, Megat Luqman Hakim, 21 dan Puteri Mia Maizura, 19.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin