“Lepas 100 Kali Fikir, Jawapan Saya Adalah…” – Fazley Yaakob Dedah Terima Lamaran Ceburi Politik

Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan sering menerima tawaran untuk menyertai dunia politik.

Biarpun anak kepada bekas Setiausaha Kerja UMNO dan Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad ini membesar dalam persekitaran politik, Fazley tidak berhajat menceburinya.

“Sebenarnya, saya sudah banyak kali diajak menyertai parti tertentu mahupun bertanding sebagai calon atau mempromosikan parti politik. Sudah banyak yang tawarkan untuk masuk politik dan arwah bapa saya sendiri pernah menjadi orang kuat di parti politik satu masa dahulu.

“Saya sendiri pernah bekerja dengan arwah, menjadi pembantu peribadinya dan menyaksikan sendiri bagaimana politik bergerak di Malaysia. Apabila ditawarkan, selepas 100 kali saya fikir pun, jawapan saya masih sama, saya tak mahu sertai politik buat masa ini,” katanya.

Namun begitu, pelantun lagu Cerita Asmara ini sentiasa terbuka untuk menerima undangan mana-mana badan politik bagi tujuan memberi ceramah berbentuk motivasi.

“Saya ada juga memenuhi undangan atau jamuan yang dilayangkan oleh parti politik. Asalkan program yang diadakan berbentuk program motivasi, saya pasti akan hadir, tak kisah jemputan itu datang dari mana-mana parti pun,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan 2023 yang menjelang tiba, penyanyi lagu Chocolate Cake ini bersyukur kerana dia bakal menjalin kerjasama dengan pelbagai jenama.

“Saya bersyukur kerana rezeki tak putus-putus. Perjalanan saya sebagai seorang ‘singing masterchef’ akan diteruskan pada 2023 dengan menjalin kerjasama dengan 13 jenama antarabangsa dan tempatan sebagai duta dan wajah produk.

“Saya juga akan melangkah dalam bidang Pendidikan. Saya bakal memulakan tugas sebagai profesor adjung dan pensyarah berkontrak dalam jurusan kulinari di beberapa universiti,” katanya lagi.

Padin