Demi Kugiran Masdo, Kami Sanggup…

Anggota kumpulan Kugiran Masdo, Putu Ceri mengaku sanggup melepaskan kerjaya tetap bagi memastikan dirinya lebih fokus.

Tambahnya, bukan hanya dia sahaja yang sanggup ‘berkorban’ malah vokalis kumpulan, Ali Sariah juga melakukan hal yang sama.

“ Saya dan Ali mengaku tidak boleh membuat dua kerja serentak di mana kedua-duanya memerlukan komitmen besar.

“ Sebelum ini kami bekerja sebagai jurutera bunyi yang menawarkan pendapatan tetap setiap bulan. Kami tidak pernah menyesal dengan keputusan ini,” katanya kepada xtra.

Tambah bapa kepada satu anak ini, dia dan Ali kini lebih fokus dalam memastikan kerjaya lebih lancar.

Dalam perkembangan lain, Putu Ceri memaklumkan mereka kini dalam persiapan terbang ke kota London bagi proses rakaman single terbaru.

“ Perancangan awal sepatutnya berjalan pada Ogos lalu tetapi atas kekangan modal kami terpaksa menangguhkan sebentar.

“ Insha Allah, kami akan ke sana pada Mac ini bagi merakam lagu terbaru kami ciptaan kumpulan antarabangsa, The Bootleg Beatles. Doakan agar semua berjalan lancar,” katanya memberitahu mereka bakal berada di sana selama seminggu.

Kugiran Masdo turut dianggotai oleh dua pemuzik iaitu Asmawi (pemain gitar) dan Azham Ahmad (dram).

SGMS Faida