Liza Hanim Bakal Duet Dengan Siti Nurhaliza?

Penyanyi, Liza Hanim tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas persembahan duet mereka pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) baru-baru ini tular di media sosial.

Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim berkata, jika perkara itu terjadi ia bakal menggembirakan ramai orang.

“Memang ramai minta kami berduet. Saya terbuka dan boleh sangat. Kalau kedua pihak okay, tidak ada masalah. Kalau ia terjadi, ia menggembirakan ramai orang terutama yang nak sangat kami ada lagu duet bersama,” katanya.

Pelantun lagu Gelisah Mimpi itu juga gembira apabila lagu tersebut kembali popular dan menjadi bualan warganet terutama di TikTok.

“Sudah tentu saya gembira. Malah, apabila dapat tawaran ini dan sebelum buat persembahan itu pun, kami dapat jangka ramai akan suka dan tunggu persembahan kami.

“Apabila lagu Gelisah Mimpi tular dan banyak digunakan di TikTok, saya gembira. Orang teringat semula lagu ni sekali gus dapat memperkenalkan semula saya dan lagu-lagu saya kepada generasi mereka. Artis seangkatan saya juga dapat diingati semula,” katanya.

Pada AIM23, Liza Hanim dan Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membuat persembahan yang memukau menerusi lagu Jerat Percintaan, Gelisah Mimpi dan Cindai.

Malam kemuncak AIM23 juga menyaksikan Liza memenangi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia bersama Shila Amzah.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi