Liza Hanim Pesan Peniaga Bazar Ramadan Untuk Lebih Bertanggungjawab – “Pembeli Maki-Maki Dah Jadi Satu Doa…”

Penyanyi Liza Hanim berpesan kepada peniaga bazar ramadan untuk lebih bertanggungjawab dalam penyediaan dan meletakkan harga makanan.

Sebagai penggemar makanan di bazar, dia mengakui terkejut melihat harga sesetengah makanan yang melambung tinggi.

“Setakat ini, saya ada terjumpa harga kuih yang pada saya mengarut dan harga ayam golek yang dua kali ganda meningkat harganya.

“Kita semua melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama-sama, kenapa tidak kita sama-sama juga memberi.

“Faham berniaga, tapi kita pembeli datang beri rezeki kepada peniaga jadi jangan lah biarkan pembeli pulang dengan doa-doa yang tak baik, pembeli maki-maki dekat belakang itu dah jadi satu doa lepas tu viral pula,” katanya.

Liza ditemui semasa di majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada masa sama, dia menasihati supaya peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pembeli dimana semua orang pernah mengalami fasa kemerosotan ekonomi.

“Tolong hentikan. Orang beli dengan duit yang mereka kumpul dan semua orang pun melalui PKP, semua orang pernah susah jadi kita tolong each other,” ujarnya.

Maya Basir