“Marah Macam Mana Pun Saya Takkan Pernah Angkat Tangan” – Kawal Perasaan, Aeril Zafrel Pernah Trauma Gara-Gara….

Pelakon Aeril Zafrel memberitahu dia mempunyai cara tersendiri untuk mengawal kemarahan jika berdepan dengan sesuatu situasi.

Memetik laporan Gempak, pada pandangan Aeril setiap manusia tidak perlu menggunakan kekerasan antara satu sama lain terutama kepada isteri dan anak-anak.

“Kita sebagai manusia tak layak untuk berkasar dengan perempuan, malah kepada sesama insan pun tak patut.

“Saya kalau marah saya takkan pernah angkat tangan, kalau dengan anak atau isteri saya pun tak pernah angkat tangan,” ujarnya.

Menurutnya, dia pernah melalui pengalaman trauma membesar dengan figura seorang bapa yang terlalu tegas dan tidak mahu mengulangi perkara yang sama.

“Saya pun pernah trauma, dulu ketika kecil bapa saya terlampau garang. Biasalah orang kampung dulu-dulu. Kadang-kadang berdarah-darah kena pukul.

“Jadi, saya berjanji takkan buat perkara sama kepada orang terdekat dengan saya, terutamanya anak-anak saya kerana saya pernah mengalami situasi itu dan saya sebagai anak sewaktu itu rasa sangat tak selesa.

“Malah, dalam rumah saya pun, saya takkan berkasar. Mahupun kepada pembantu rumah saya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Aeril mempunyai cara tersendiri untuk mengawal kemarahan jika berlaku pertengkaran dengan orang tersayang.

“Saya tegas dan garang tapi untuk sampai berteriak, angkat tangan, saya takkan sampai ke tahap itu.

“Mungkin saya tak diuji sampai ke tahap itu tapi Alhamdulillah, kalau marah macam mana pun saya akan Istighfar, kita pun tak tahu orang lain ujiannya,” katanya.

Sumber: Gempak

Maya Basir