‘Masuk Islam Bukan Sebab Saya’- Ezlynn

Mempunyai keinginan untuk kembali bekeluarga dan menimang cahaya mata, penyanyi Ezlynn mengakui sedang mengenali hati budi seorang jejaka bangsa lain.

Penyanyi yang dikenali dengan single Hi Hi Bye Bye itu mengakui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab apabila membabitkan soal agama. Ezlynn menjelaskan, dia mahu jejaka terbabit mendalami Islam terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu dia menukar agama kerana mahu berkahwin semata-mata, sebaliknya keputusan itu dibuat kerana cintakan agama Islam. Hal ini bukan boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan soal agama.

“Kami sudah lama berkawan, namun biarlah dia menunjukkan kesungguhan jika ingin membawa hubungan ini lebih jauh. Oleh itu, saya memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut berhubung perkara ini,” kata Ezlynn.

Penyanyi yang kini tampil dengan single berjudul Goyang itu ditemui di Koleksi Musim Panas ALIKE yang diadakan di Istana Budaya, di sini, semalam.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehidupannya sejak bercerai dengan bekas suami, Adam Fahmy, pada Oktober 2017.

Oleh: Zaara Talita

SGMS Enal