Menang Anugerah Pertama Di Malaysia, Keisya Levronka Bakal Duet Dengan Nabila Razali

Penyanyi Indonesia, Keisya Levronka menjadi bualan hangat warganet apabila memenangi anugerah bagi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara pada Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) pada Ahad.

Keisya yang memenangi anugerah tersebut menerusi lagu Tak Ingin Usai tidak menjangka lagu nyanyiannya itu mendapat tempat di hati juri sehingga berjaya menewaskan idolanya iaitu Rossa dengan dua pencalonan.

“Pertamanya, saya menjangka yang akan menang ialah Rossa.

“Dan apabila diumumkan nama saya sebagai pemenang, saya tak mampu berkata apa-apa ketika itu,” ujarnya.

Disoal mengenai perancangan dalam masa terdekat, Keisya memberitahu dia akan berkolaborasi bersama penyanyi Malaysia iaitu Nabila Razali dalam sebuah lagu tidak lama lagi.

“Perancangan seterusnya saya akan keluarkan album pertama, sekarang adalah proses untuk mencari material album tersebut. 

“Stay tuned, akan ada waktunya untuk keluar single bersama.

“Lagunya sudah dirakam,” katanya kepada XTRA.

Penyanyi berusia 19 tahun itu juga menganggap kontroversi yang melanda dirinya mengenai lagu Tak Ingin Usai sebagai semangat untuk terus fokus memperbaiki diri.

“Apa pun yang terjadi, kita perlu bijak mengawal diri.. Kita tak banyak tangan untuk menutup mulut orang, tapi kita ada dua tangan untuk menutup telinga untuk fokus memperbaiki diri,” jelasnya.

Muzik video Tak Ingin Usai kini sudah mencecah 51,000,000 tontonan di YouTube selepas dilancarkan pada 13 Mei lalu.

Khairil Khusyairi