#Mentor7 : Akur Pilihan Siti Nordiana, Mimi Mahu Cuba Nasib Lagi Tahun Depan

Biarpun tidak berjaya bergelar protége kepada penyanyi Siti Nordiana untuk Mentor 7, pemilik nama Nurshamimi Abdul Manan atau Mimi langsung tidak berkecil hati.

Malah gadis berusia 18 tahun ini mengaku dua lagi rakan seperjuangan iaitu Zaaim dan Taufiq seharusnya lebih layak.

“ Sampai tahap ini pun, saya dah gembira. Alhamdulillah.  Insya Allah, kalau ada rezeki Mimi nak pergi ke ujibakat Mentor lagi tahun depan. Ini merupakan ujibakat pertama saya pernah pergi atas faktor usia.

“ Sebelum naik ke pentas, Kak Nana sendiri dah memaklumkan kriteria yang diinginkan. Saya lihat ciri-ciri berkenaan lebih jelas ada pada Zaaim dan Taufiq. Saya berterima-kasih kepada Kak Nana kerana memberi saya peluang berada di pentas besar begini. Pengalaman yang saya tidak akan lupakan,” katanya kepada xtra.com.

Dalam pada itu, gadis kelahiran Ampang ini mengaku pernah menerima tawaran dari dua syarikat rakaman sebelum ini.

“ Saya masih belum bersedia kerana masih terikat dengan pengajian di Universiti Kuala Lumpur dalam jurusan Multimedia.

“ Tetapi selepas ini, jika ada tawaran mendatang… Insya Allah saya sudah bersedia,” katanya.

Untuk rekod lama, Syamimi juga merupakan anak didik penyanyi Amir Ukays di mana dia sering mengadakan persembahan bersama di majlis-majlis perkahwinan.

Good Luck, Mimi!

 

 

SGMS Faida