“Mereka Ada Hak Untuk…” – Sering Dikritik Imej Seksi, Nora Danish Tampil Beri Respons!

Aktres cantik, Nora Danish sering ditegur dan dikecam oleh warganet mengenai cara pemakaiannya yang dikatakan terlampau seksi.

Malah, warganet turut mengkritik penampilannya itu tidak sesuai dengan statusnya yang bergelar sebagai seorang ibu.

Selepas beberapa kali isu sama dibangkitkan, Nora menjelaskan bahawa warganet mempunyai hak untuk memberi pandangan dan dia tidak gemar untuk saling berbalas dengan mereka.

“Sebenarnya saya tak suka berlawan-lawan dengan netizen sebab bagi saya, mereka ada hak untuk bercakap apa-apa pun. Saya pun seorang selebriti.

“Bidang yang saya ceburi ini pun ada kait rapat dengan masyarakat terutama peminat. Bagi saya, apa yang mereka katakan, saya anggap sebagai doa,” ujarnya kepada XTRA.

Tidak cepat melatah, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 40, menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk berimej seksi dan merasakan pemakaiannya tidak terlalu seksi namun ia bertentangan dengan apa yang dikatakan warganet.

“Saya pun kalau boleh tak naklah seksi sangat. Tapi kadang-kadang naluri saya sendiri. Saya rasa bila pakai tak seksi, tapi orang kata seksi,” jelasnya ketika ditemui di majlis pelancaran telefilem berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin di Dadi Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah, suaminya, Mohamad Nedim Nazri turut terkena tempias mengenai kontroversi yang timbul tetapi Nora bersyukur bahawa suaminya sangat memahami dengan selok-belok kerjayanya malah tenang menghadapi kecaman warganet.

“Nasib baik, saya mempunyai seorang suami yang sangat kuat. Dia pun macam ‘whatever la’ dan okay saja. Macam saya katakan, dia pun kahwin dengan selebriti.

“Jadi dia pun faham selok-belok dalam industri macam mana. Dia tenang saja sebab ada lagi masalah lebih besar untuk difikirkan.

“Saya pun anggap inilah dugaan saya dan dia pun sama-sama sokong. Doa yang baik-baik dan jangan pandang negatif, bila pandang positif, semuanya akan jadi positif,” katanya.

Atiqah Johari