Muat Naik Kapsyen Sedih Di IG, Status Rumah Tangga Irma Hasmie Cetus Tanda Tanya

Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Irma Hasmie mencuri perhatian susulan hantaran yang dimuat naik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Menerusi perkongsian tersebut, Irma Hasmie seakan-akan memberi pesanan terhadap golongan lelaki yang bergelar suami agar menghargai pengorbanan isteri dalam melahirkan zuriat mereka.

Biarpun kapsyen berkenaan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, namun terdapat segelintir dalam kalangan netizen yang beranggapan rumah tangga aktres ini sedang goyah.

“Jangan ajari seorang isteri sabar. Kerana dia pernah digunting, dipotong dan dijahit hidup-hidup untuk memberimu gelaran seorang ayah,” tulisnya.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan di ruangan balas hantaran berkenaan, Irma turut meninggalkan komen meminta maaf kepada pengikutnya.

“Minta maaf semua, kebaikan itu datang dari Allah dan keburukan adalah dari diri saya sendiri,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut mendoakan agar ibu kepada dua cahaya mata ini terus tabah dan kuat menjalani kehidupan kelak.

 

Berdasarkan tinjauan XTRA, pelakon filem Cinta Fotokopi ini kali terakhir dilihat memuat naik gambar bersama suaminya Redza Syah Azmeer Radzuan adalah pada tahun 2020.

Sekadar info, Irma dan Redza berkahwin pada 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 10 dan sembilan tahun.

Salma Syahbuddin