Categories: Hiburan

Nadeera Zaini Bakal Rakam Single Ciptaan Komposer Tersohor Antarabangsa

Penyanyi Nadeera Zaini bakal merakamkan sebuah lagu ciptaan komposer tersohor dari Korea Selatan, Hyuk Shin.

Hyuk Shin merupakan pencipta lagu ‘One Less Lonely Girl’ nyanyian penyanyi antarabangsa terkemuka, Justin Bieber dan dia juga mencipta lagu untuk penyanyi popular Korea lain seperti GFriend, EXO, Shinee, DEAN, Oh My Girl, Girls’ Generation, Monsta X, NCT, GOT7 dan SF9.

Single terbabit merupakan hadiah yang diberikan oleh Rocketfuel Entertainment bersempena kemenangan Nadeera dalam program realiti Big Stage musim kelima, baru-baru ini.

“Sesungguhnya kami amat berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh Nadeera. Sepanjang sepuluh minggu berentap, ramai telah menyaksikan kesungguhan serta kemampuan penyanyi ini yang sememangnya layak bergelar juara.

“Pihak Rocketfuel berbesar hati menghadiahkan sebuah lagu ciptaan komposer tersohor dari Korea Selatan, Hyuk Shin. Kami berharap Nadeera mampu mengorak langkah dengan lebih jauh lagi dengan lagu yang bakal dirakamkan nanti,” kata Prem Anand selaku Ketua Rocketfuel Entertainment.

Tambah Prem, mereka memberikan sokongan dan galakan untuk penggerak muzik pelapis baharu industri hiburan Malaysia.

“Kami berikan dukungan agar mereka dapat pergi jauh lagi dalam kerjaya masing-masing, sekaligus menjadikan program terbabit sebagai platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu agar industri muzik bergerak lebih maju ke hadapan dengan pelbagai kandungan yang bermutu dan berkualiti,” katanya lagi.

Sebelum muncul sebagai juara, Nadeera banyak menyertai pelbagai program realiti lain seperti Vokal Bukan Sekadar Rupa, Mentor Legend, Lagu Cinta Kita dan banyak lagi.

Padin