Nadhir Nasar Elak Diri Terjebak Cinta Lokasi, Jawab Dakwaan Hubungan Rapat Dengan Qasrina Karim – “Saya Selesa Dengan Dia…”

Pelakon Nadhir Nasar memberitahu akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan cinta lokasi.

Memetik laporan Berita Harian, sebagai seorang pelakon yang hebat, perasaan dan emosi perlu ditinggalkan sebaik sahaja melangkah keluar daripada set penggambaran.

“Perasaan hanya di lokasi, bukan terbawa-bawa hingga ke luar. Saya adalah pelakon yang akan berlakon seikhlas hati.

“Sebagai pelakon, saya akan digandingkan dengan pelakon wanita berbeza-beza. Jika saya buka hati satu demi satu bukankah ia akan menyusahkan,” katanya.

Disoal tentang keakraban yang ditunjukkan bersama pelakon Qasrina Karim, dia sudah mengenalinya sejak penglibatan dalam kempen raya.

Katanya lagi, dia mempunyai karakter mudah mesra dan melayan setiap orang sama rata.

“Orang melihat saya sebagai seseorang yang mudah didekati. Saya memang baik dengan semua orang.

“Lagipun, saya dan Qasrina pernah bekerjasama, jadi ia memudahkan kami mencipta keserasian.

“Qasrina seorang yang sangat terbuka, positif dan sentiasa ingin belajar membuatkan saya selesa bergandingan bersama,” jelasnya.

Sementara itu, Nadhir mengakui kurang selesa apabila berkongsi hal peribadi kepada umum.

“Saya lebih selesa menyimpan soal peribadi untuk diri sendiri.

“Bagi saya, ia adalah hak saya sebagai manusia, walaupun tak dinafikan ramai ingin tahu kisah peribadi saya,” ujarnya.

Maya Basir