Naim Daniel Akui Sudah Ada Teman Wanita Dalam Industri Muzik – “Kami Ada Persamaan Sikap Gila-Gila…”

Penyanyi Naim Daniel mengakui hatinya sudah dimiliki teman istimewa yang merupakan seorang wanita yang juga dalam industri muzik.

Menurut Naim, dia masih belum bersedia untuk berkongsi lanjut mengenai identiti wanita yang bertakhta di hati.

“Hubungan kami baru saja nak berputik, tapi keluarga kedua-dua belah pihak sudah maklum mengenainya.

“Saya selesa dengannya kerana kami ada persamaan iaitu memiliki sikap ‘gila-gila’ dan mempunyai pemikiran yang sama.

“Dia seorang yang sangat baik, tapi bapa saya nasihatkan supaya jangan terlalu teruja sebab bimbang menangis nanti.

“Sebab itu saya lebih selesa untuk tidak membicarakan perkara ini terlalu mendalam. Soal percintaan atau perpisahan lebih baik simpan untuk diri sendiri saja,” katanya.

Menurut Naim, dia masih belum ada perancangan untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya kerana masih dalam fasa berkenalan.

“Memang saya ada keinginan untuk berkahwin, tapi bukan sekarang. Banyak benda yang saya kena fikirkan terutama berkaitan dengan kerjaya nyanyian dan lakonan.

“Kalau boleh saya ingat menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun. Nanti umur dah banyak tapi anak masih kecil lagi.

“Jika saya nak kahwin atau ada sebarang majlis saya akan beritahu. Kami baru di fasa baru hantar mesej hello-hello,” ujarnya.

Naim ditemui di sidang media Konsert Patah Hati 2.0 di Z Botanica, 1 Utama, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Patah Hati Ada Sekuel! Bakal Diadakan 23 November Ini, Tampilkan Bunkface, Ismail Izzani, Nadeera, Neeta, Aisha Retno & Naim Daniel 

Bakal beraksi di acara terbabit, bintang lain yang menjayakan Konsert Patah Hati 2.0 ialah Bunkface, Ismail Izzani, Neeta, Aisha Retno dan Nadeera.

Konsert tersebut akan diadakan pada 23 November dan tiket boleh dibeli di laman sesawang www.ticket2u.com.my

Maya Basir