Categories: HiburanSelebriti

Namakan Filem ‘Tiada Tajuk’, Mawi Nafi Sengaja Reka Gimik

Penyanyi dan penyampai radio Mawi yang kini mengorak langkah sebagai pengarah filem mengakui tindakannya meletakkan ‘Tiada Tajuk’ untuk filem pertamanya bukan gimik murahan.

Akui Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, perancangan meletakkan nama filem sebagai ‘Tiada Tajuk’ telah disuarakan sejak tahun lepas.

“ Saya hairan kenapa ramai yang terkejut kerana sejak dulu lagi setiap kali orang tanya apa nama filem ini, saya memang katakan Tiada Tajuk.

“ Ramai wartawan dan rakan yang bertanya saya jawab benda yang sama. Tiada Tajuk memang nama filem ini. Barangkali mereka keliru dengan kenyataan itu. 

“ Rasanya tidak perlu saya beri penjelasan lebih lanjut lagi, sangat jelas Tiada Tajuk adalah tajuk filem arahan pertama saya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Tiada Tajuk di pusat beli belah Sogo, Kuala Lumpur, petang tadi.

Tambahnya, filem terbitan Mawi World Entertainment ini juga diinspirasikan daripada filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

“ Saya ambil ilham dari karya-karya sebelum ini kerana saya merupakan peminat filem Allahyarham P Ramlee.

“ Dialognya bersahaja tetapi mengandungi nasihat berguna membuatkan saya terfikir untuk hasilkan filem sebegitu.

“ Untuk Tiada Tajuk saya sudah memberikan yang terbaik. Saya berharap penonton bakal suka dengan buah tangan pertama Mawi World Entertainment untuk tahun ini,” akhirinya.

Tiada Tajuk turut membariskan pelakon komedi seperti Joey Daud, Along Cham, Hazama, Amira Othman dan Mawi sendiri.

Filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 4 April 2019.

Wartawan lokasi: Azroy

SGMS Faida