Nas Ahmad ‘Terjah’ Perlu Jalani Rawatan Jantung Segera

Bekas wartawan hiburan yang popular dengan tagline ‘Terjah’, Nas Ahmad kini sudah tidak aktif seperti dahulu apabila dia didiagnos menghidap penyakit jantung sejak dua tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Nas Ahmad atau nama penuhnya, Mohd Nasir Ahmad kini bergantung kepada pendapatan anak-anaknya selain menerima bantuan zakat Selangor berjumlah RM800 untuk bayaran rumahnya.

Dalam pada itu, dia yang mudah mengah kini tidak berdaya untuk berjalan mahupun hanya 100 meter disebabkan masalah jantung tersumbat.

Malah, penglihtannya juga semakin kabur, selain kakinya bengkak dan sukar untuk solat.

“Saya mudah mengah kalau nak menapak jauh sangat, tak sampai 100 meter pun dah penat disebabkan satu saluran di jantung yang tersumbat.

“Kena banyak berehat, itu menyebabkan saya tak boleh bekerja seperti sedia kala. Saya rindu nak bekerja, nak keluar shooting nak bantu bela nasib industri.

“Dahulu saya keluarkan cerita mengenai artis sakit dan dapatkan sumbangan. Itu rezeki dia. Sekarang masa saya pula. Tiba-tiba zero income dan kini jadi asnaf. Jadi saya serahkan kepada rezeki,” katanya.

Sementara itu, dia juga kini dalam proses menunggu giliran untuk membuat rawatan stent (terapi untuk pesakit jantung).

“Saya tidak mempunyai insuran, tak ada pekerjaan… tak mampu untuk buat rawatan di hospital swasta. Saya sedang menunggu giliran di hospital kerajaan. tak saya sangat faham pesakit ramai, dan hospital ketika ini penuh.

“Jadi bila tarikh saya akan jalani pembedahan itu, doktor sendiri belum berani nak janjikan bila… cuma bila doktor pesan kalau tak tahan terus ke kecemasan segera,” jelasnya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez antara yang tampil memberi sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Siapa sahaja tak kenal Nas Ahmad, kami sentiasa ingat bagaimana prihatinnya dia terhadap industri ini.

“Dia banyak membantu menaikkan nama Persatuan juga, kini inilah masa kami mengenang jasa itu,” katanya yang turut memberikan sumbangan untuk meringankan beban,” ujarnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin