Neera Azizi Tak Menyesal Tinggalkan Kerjaya Sebagai Pramugari

Pelakon Neera Azizi mengakui dirinya tidak menyesal tinggalkan kerjanya sebagai pramugari demi meneruskan karier lakonannya dalam industri seni tanah air.

Menurut Neera, jiwanya lebih sebati dengan dunia lakonan dan menganggap pengalamannya untuk menjadi seorang pramugari itu hanyalah sekadar ingin melunaskan impiannya sejak kecil.

“Saya bertugas sebagai pramugari selepas tiga tahun bergelar pelakon pada 2019 untuk mengutip pengalaman. Bukan disebabkan tidak laku berlakon, saya tetap berlakon semasa bekerja sebagai pramugari.

“Namun, ia memenatkan sehingga tiada masa untuk berehat. Dan ibu juga memberi pilihan sama ada saya mahu teruskan kerjaya pramugari atau berlakon sepenuh masa.

“Saya pilih lakonan selepas setahun bertugas di awan biru. Namun, saya tidak menyesal kerana saya lebih merindukan dunia lakonan dari bekerja sebagai pramugari. Ini kerana jiwa saya lebih kepada dunia lakonan,” katanya.

Dalam ada itu, pelakon itu turut menyatakan kerjaya sebagai seorang pramugari lebih mencabar dari segi fizikal dan mental berbanding lakonan.

Namun, Neera menyifatkan keputusannya untuk berhenti bertugas sebagai pramugari itu adalah tepat memandangkan ramai yang dibuang kerja selepas dunia diserang pandemik Covid-19.

“Keputusan dibuat ternyata tepat apabila tidak sampai sebulan selepas letak jawatan, dunia diserang pandemik C0vid-19 sehingga melumpuhkan sistem penerbangan negara.

“Sebulan selepas berhenti, terus pandemik dan ramai kru kabin diberhentikan. Jadi, ada hikmahnya saya berhenti.

“Dari zaman sekolah, saya pernah katakan ada dua perkara yang ingin dilakukan iaitu berlakon dan kru kabin. Kedua-dua dicapai, jadi setahun sebagai kru kabin sudah memadai bagi saya.

“Bagi yang tidak tahu, jadi kru kabin sangat memenatkan dan tidak cukup rehat,” jelasnya.

Untuk perkembangan terkini, Neera kini tampil menerusi drama bersiri terbitan platform penstriman Viu yang berjudul Alter-Naratif yang turut dibintangi oleh Nabila Huda, Liyana Jasmay, Gambit Saifullah dan ramai lagi.

Fatin Nurain