Niat Kumpul Dana RM15,000 Untuk Pembedahan Tidak Kesampaian, Anggota Kumpulan Rabbani Meninggal Dunia

Anggota kumpulan nasyid popular, Rabbani iaitu Nazrul Azhar Tamrin dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 47 tahun kira-kira jam 4.45 petang tadi di kediamannya.

Memetik laporan mStar, berita mengenai pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh salah seorang rakannya yang juga anggota kumpulan nasyid iaitu, Azadan Abdul Aziz.

“Saya dapat berita pemergiannya pukul 4 petang tadi daripada anaknya yang memaklumkan, arwah tidak sedarkan diri dan sedang menunggu ambulans untuk dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, arwah disahkan meninggal dunia pada jam 4.45 petang tadi,” katanya.

Tambah Azadan, Nazrul sebelum ini sudah lama menderita penyakit buah pinggang dan difahamkan kedua-dua buah pinggangnya juga telah rosak.

“Kami sudah lama rehatkan dia. Buah pinggang arwah kedua-duanya sudah lama rosak. Hampir 8 tahun juga dia berehat,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Azadan memaklumkan, dua hari lalu dia ada berbincang dan bertemu arwah bagi mengutip dana untuk kos rawatannya, namun tidak kesampaian.

“Kami sedang berpakat untuk mengutip dana sebanayak RM15,000 untuk pembedahan tapi tidak kesampaian. Ketika itu kira-kira dua hari lepas, saya bertemu arwah dan tangan kirinya sedang membengkak,” ujarnya.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin