Noryn Aziz Tampil Dengan Karya Cinta Dari Hati, Kau

Nama penyanyi, Noryn Aziz tidak pernah lekang dalam kalangan pengikut irama jazz di negara ini.

Noryn atau nama sebenar Norazmahwati Abd Aziz, 47, tampil melancarkan single setelah sekian lama tidak muncul dengan single terbaru berjudul Kau hasil ciptaan sepenuhnya oleh Indra dan Noryn Aziz sendiri.

Bagi Noryn, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa perlu mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sesebuah lagu baharu.

“Saya terlalu berhati-hati dalam melahirkan sesebuah lagu. Boleh jadi saya adalah seorang yang ‘overthinking’. Cuma, saya fikir ‘it doesn’t matter anymore’. Oleh kerana harus memandang kepada bajet untuk melahirkan lagu, saya jadi lebih teliti.

“Saya selalu mementingkan mengenai kualiti sesebuah Lagu. Macam lagu Kau, saya dah rakam dua kali dengan ‘feel’ yang berlainan. Satu ‘arrangement’ rnb jazz dan disko funk. Apabila diamati rnb jazz adalah agak berat untuk pasaran semasa.

“Apa pun, saya berpuas hati dengan ‘feel’ akhir lagu ini dengan memilih disko funk yang lebih segar dan lebih mudah diterima peminat dan pencinta muzik tanah air. Bagi saya, lagu Kau dengan rentak disko funk ini lebih ‘fun’ dan segar,” ujarnya.

Berkongsi mengenai lagu Kau itu, menurut Noryn ia mengisahkan mengenai cinta dan kebahagiaan.

“Lagu Kau mengisahkan mengenai cinta dan kebahagiaan. Lagu ini sangat sesuai untuk ‘wedding fast song’. Lagu ini saya rakam akhir tahun lalu. Macam dikongsikan, genre Lagu Kau adalah disko funk. Saya memilih ‘arrangement’ ini supaya lebih dekat dengan pasaran muzik semasa. Dalam masa sama, saya ingin melahirkan sesuatu yang ‘fresh’ dan baru untuk pasaran industri tempatan.

“Jadi, saya berharap lagu ini akan diterima baik peminat. Selain itu, mereka dapat mengenali saya melalui lagu ini. Paling penting sebenarnya, saya mahu pendengar ‘enjoy’ menyanyikan lagu ini,” katanya lagi.

Noryn juga berpegang kepada prinsip bahawa kualiti lagu adalah segalanya dan elemen gimik atau tular itu hanya untuk mempopularkan lagi sesebuah karya.

“Dalam perkara ini, ia bergantung kepada jenis gimik atau viral tersebut. Saya lebih mementingkan kepada sesuatu yang bertahan lebih lama. Macam saya secara peribadi, ‘slow and steady’. Apa pun kualiti adalah lebih diutamakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noryn berkata dia mahu memberi fokus sepenuhnya untuk mempromosikan lagu Kau.

“Buat masa ini saya ingin menumpukan sepenuhnya dengan promosi lagu Kau. Namun, saya juga sedang dalam proses untuk mencari bakat baru untuk berduet dengan saya untuk single seterusnya,” katanya.

Nurul Hana