Nyanyi Gantung, Terbalik Di AJL 37, Naim Daniel Terima Pengiktirafan Malaysia Book of Records – “Saya Perlu Berani, Baru Dapat Habuan”

Selepas tampil memukau di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) Februari lalu dengan membawakan lagu Mainan secara tergantung dan terbalik, penyanyi, Naim Daniel kini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR), semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Naim meluahkan rasa teruja dan terharu apabila mengetahui perkara tersebut.

Malah kejayaan manis ini seperti memberi sumber kepada semua untuk melakukan dengan lebih lagi dalam apa jua perkara.

“Perasaan saya lebih kepada terharu apabila dimaklumkan mengenai pengiktirafan ini.

“Pengiktirafan ini membakar semangat untuk terus menghasilkan sesuatu di luar kotak.

“Secara tidak langsung saya berjaya membuktikan anak muda juga sukakan pembaharuan, tetapi perlu ada tekad tinggi,” katanya.

Jelas Naim, kejayaan manis ini sedikit sebanyak dapat mengubati peminat dan penyokongnya biarpun pulang tanpa sebarang trofi pada anugerah berprestij itu, bulan lalu.

“Memang terasa segala susah payah menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik berbayar dengan pengiktirafan yang disifatkan cukup besar daripada segala-galanya.

“Saya tidak pernah mempedulikan komen orang terhadap persembahan sebelum ini. Bagi saya, semua orang berhak memberikan komen.

“Saya anggap setiap komen sebagai pembakar semangat. Apa yang penting, saya perlu berani, barulah akan dapat habuannya,” katanya.

Terdahulu, ketika temu bual bersama XTRA, Naim mendedahkan dia menjalani sesi latihan yang ‘brutal’ dalam menjayakan persembahan epik tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: AJL37: Nyanyi Gantung Terbalik Sepanjang Persembahan, Naim Daniel Akui Tak Mudah Kawal Vokal – “Saya Jalani Training ‘Brutal’”

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi