“Orang Ingat Saya Membesar Dan Datang Dari Keluarga Kaya” – Daiyan Trisha

Pelakon Daiyan Trisha mengakui dia lebih mengutamakan kualiti pada setiap naskah yang ditawarkan padanya.

Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, berkata, dia tidak suka apabila karya yang dihasilkan untuk penonton tidak menetapi citarasa dirinya.

“Saya bukan cari yang eksklusif semata tapi saya menekankan kualiti. Saya tak suka produk yang saya keluarkan tak bagus.

“Kalau saya tak suka, saya sendiri akan kritik kerana muka saya tak boleh menipu. Jika bagus, it can be seen on my whole body.

“Kita kena bagi penonton benda yang berkualiti, biar mereka consume benda yang bagus. Saya penulis, jadi kata-kata saya expensive, jika saya puji, terimalah kerana pujian itu memang ikhlas dari saya,” ujarnya dalam sebuah temu bual bersama sebuah majalah.

Disoal mengenai karier nyanyiannya pula, pelantun lagu Penat ini memaklumkan ada buah tangan terbaharu daripadanya untuk peminat kelak.

“Insya-Allah hujung tahun ini ada sesuatu yang menarik untuk peminat. Mungkin orang nampak saya ni tak banyak menyanyi di TV atau mana-mana show tapi saya tak pernah berhenti bekerja untuk muzik saya.

“Saya menulis everyday dan ada saja lagu-lagu baru dalam arkib simpanan saya. Jika diizinkan Tuhan, selepas selesai buku dan travelling, saya akan mula fokus pada muzik hujung tahun ini. 

“Saya dah mula fikir tentang projek ni sejak lepas raya dan saya harap peminat akan suka. Sebab memang ada peminat yang selalu bertanya tentang lagu baru, sampai ada yang kata saya dah lupa yang saya penyanyi,” kongsinya.

Dalam pada itu, pelakon filem Sumpahan Jerunei ini turut menjelaskan persepsi sesetengah pihak yang mengatakan dia seorang yang berada atau kaya.

“Orang ingat saya kaya. Orang fikir saya membesar dan datang dari keluarga kaya. Hakikatnya saya membesar dalam keluarga yang sangat sederhana. Alhamdulillah kerjaya saya blooming dan rezeki murah dan saya pula tahu macam mana nak simpan dan grow pendapatan saya.

“Saya datang dari latar belakang yang sangat humble. Saya dan adik-beradik lain dibesarkan dengan tiga hal penting; pendidikan, seni dan kasih sayang. Kami tak kejar benda lain.

“Saya rasa rezeki akan datang bila kita ikhlas. Saya seronok dengan apa yang saya usahakan dan itu sudah cukup buat saya gembira,” ujarnya positif.

Khairil Khusyairi