Peguam Ini Beri Pendapat Isu Shila Amzah & Keluarga, Ramai Setuju – “Ibu Bapa Jangan Nak Ungkit Soal Penat Lelah Mengandung”

Minggu lalu kecoh di media sosial mengenai konflik keluarga yang melanda penyanyi Shila Amzah sehingga menjadi tumpuan ramai pihak.

Terbaharu, aktivis dan peguam terkenal, Asiah Abd Jalil, mengakui luluh membaca luahan hati ibu Shila iaitu Fauziah Sarman, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi tulisan di Facebook, Asiah berkata, dia tidak menyalahkan Shila dalam hal tersebut sebaliknya ibunya yang harus dipersalahkan.

Menurut Asiah lagi, dia membenci ibu bapa yang bersikap selalu betul dalam setiap perkara.

“Saya baca luahan hati ibu Shila Amzah, jiwa keibuan saya rasa seperti dirobek-robek. Bukan kerana saya marahkan Shila Amzah. Tapi kerana saya marahkan ibunya.

“Saya paling benci ibu bapa yang mengungkit-ungkit jasanya kepada anak. Saya benci ibu bapa yang mudah berkecil hati dengan anak.

“Saya benci ibu bapa yang berharap balasan buruk ke atas anak. Saya benci ibu bapa yang merasakan diri mereka sentiasa betul kerana mereka ialah ibu bapa.

“Saya benci ibu bapa yang mengharapkan anak sahaja mesti minta maaf kepada ibu bapa kerana ibu bapa tak pernah bersalah,” tulisnya.

Tulis Asiah lagi, setiap ibu bapa tidak perlu untuk mengungkit soal sakit lelah ketika melahirkan seorang anak. Malah berkata, ibu bapa tidak boleh berharap setiap anak itu sempurna dalam pelbagai hal.

“Saya selalu ingatkan diri saya. Anak-anak tak minta dilahirkan ke dunia. Ibu dan ayahlah yang memilih untuk melahirkan mereka.

“Jadi jangan nak ungkit tentang penat lelah mengandung dan sakit payah melahirkan. ‘You sign up for that’.

“Anak-anak tak boleh pilih siapa ibu dan ayah mereka. Apabila dilahirkan, mereka kena terima sahaja siapa ibu dan siapa ayah mereka. Jadi jangan ‘expect’ anak-anak kita mesti ‘perfect’ serba-serbi, sedangkan kita sendiri bukanlah ‘perfect’ serba-serbi,” luahnya.

Dalam pada itu, Asiah juga berpendapat balasan atau jasa yang diberikan seseorang anak kepada ibu bapa tidak penting namun tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak adalah menjadi keutamaan.

“Satu hari nanti anak-anak akan dewasa dan ada kehidupan mereka sendiri. Sama ada mereka kenang dan balas jasa ibu bapa atau tidak, itu tidak penting.

“Yang penting, kita sebagai ibu bapa dah laksanakan tanggungjawab kita sebaiknya semasa membesarkan mereka,” tutupnya.

Terdahulu, konflik keluarga Shila Amzah menjadi hangat apabila adiknya iaitu Syada Amzah mendakwa Shila menjual rumah miliknya yang didiami oleh ibu dan adik beradiknya.

Syada juga pernah membuat surat terbuka kepada bapanya, Datuk ND Lala memberitahu dia tiada lagi akses untuk berhubung dengan penyanyi itu.

Khairil Khusyairi