Pelakon Lagenda, Wahid Satay Meninggal Dunia Di Usia 93 Tahun

Pelakon lagenda sekitar tahun 1950 an, Abdul Wahid Haji Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Wahid Satay dilaporkan meninggal dunia pada usia 93 tahun di Singapura, kira-kira jam 8 pagi ini.

Berita mengenai pemergiannya disahkan oleh teman rapat Allahyraham sendiri iaitu, Rusedah Tawahid.

“Saya mendapat perkhabaran arwah meninggalkan dunia, pagi ini.

“Seperti yang diketahui, arwah memang uzur, keadaannya juga agak lemah akibat sakit tua.

“Namun saya tidak dapat memastikan punca kematian Seniman Legenda ini,” katanya.

Terdahulu, tersebar berita dalam kumpulan WhatsApp tanpa disebutkan secara terperinci mengenai pemergian arwah .

“Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan, dunia seni kehilangan seorang lagi bintang nostalgia, Seniman Wahid Satay atau Abdul Wahid bin Ahmad kembali ke rahmatullah sekitar jam 8 pagi pada 22 Mei 2023 di Singapura pada usia 93 tahun.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Aamiin. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin