Pemain Drum Tyo Nugros Buat Ramai ‘Histeria’, Dewa 19 Berjaya ‘Suntik’ Momen Nostalgia Baladewa Baladewi!

Meriah dengan pelbagai kejutan, itulah ungkapan yang dapat di hujahkan mengenai konsert band terkenal Indonesia, Dewa 19 setelah berjaya memukau 7,000 penonton di konsert Dewa 19′ A Night At The Orchestra Chapter 5′ Live In Malaysia.

Dewa 19 menyampaikan 34 buah lagu ‘nostalgia’ mereka diiringi 54 pemuzik orkestra dari Malaysia diketuai oleh maestro muzik Indonesia selaku konduktur, Guntur Nur Puspito yang berlangsung di tempat berprestij Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Konsert berskala besar Dewa 19 berlangsung selama tiga jam itu menampilkan tiga vokalis mereka iaitu legenda Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe.

Selain lontaran vokal mereka yang memukau penonton digelar sebagai Baladewa dan Baladewi, pemain drum Dewa 19 iaitu Tyo Nugros membuat ramai ‘histeria’ setiap kali wajahnya muncul di skrin layar lebar.

Antara lagu hits yang didendangkan adalah Arjuna, Pupus, Risalah Hati, Sedang Ingin Bercinta, Roman Picisan, Separuh Nafasku, Kangen dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, kumpulan asal Surabaya itu juga berkolaborasi dengan tiga penyanyi hebat negara iaitu Amir Masdi, Jaclyn Victor dan Shila Amzah.

Persembahan duet Amir Masdi dan Marcello yang membawa lagu ‘Bohemian Rhapsody’ juga menjadi antara momen terindah di konsert Dewa 19.

Aqilah Paharuzi