Penampilan Gadis 17 Tahun Jadi Drummer Baharu Search Raih Perhatian Peminat, Amy Search Dedah Mempunyai Persamaan Dengan Allahyarham Yazit

Penampilan seorang gadis sebagai pemain dram kepada kumpulan rock legenda Search di sebuah acara muzik, baru-baru ini mendapat perhatian ramai.

Kemunculan gadis bernama Naimi Daini itu telah menarik perhatian penonton sepanjang persembahan mereka berlangsung.

Memetik artikel Gempak, vokalis kumpulan Search, Datuk Amy Search mendedahkan pemain dram baharu ini mempunyai persamaan seperti Allahyarham Yazit Ahmad.

“Saya melihat bakal Naimi amat istimewa. Apatah lagi, saya dapati dia ada persamaan cara bermain macam arwah (Yazit) sedikit.

“Pada saya, ramai orang boleh main dram, tapi untuk dia ada ‘sesuatu’ menarik dalam teknik bermainnya yang bertenaga, penuh semangat dan ada jiwa seni itu.

“Dia pun ‘steady’ saja main tiga lagu ‘fast’ tanpa nampak penat dan pancit. Jadi dari situ saya lihat memang ada sentuhan arwah Yazit pada Naimi. Walaupun berbeza, tapi dia ada ciri-ciri orang berdarah seni,” jelas Amy.

Gadis berusia 17 tahun itu muncul untuk kali pertama pada Konsert Nusafest 2023 dan dia tampil bersama Search yang dianggotai Amy, Nasir Daud(bass), Hillary (gitar) dan Man Kidal (gitar) dengan memainkan 8 buah lagu malam itu.

Sumber: Gempak

Izzi Farhana