Pernah Tolak Lagu Ciptaan Ajai, Hafiz Hamidun Mohon Maaf

Penyanyi Hafiz Hamidun mendedahkan dia pernah menolak karya yang dicipta oleh komposer prolifik terkenal, Ajai.

Menurut Hafiz, ketika itu dia menolak untuk bekerjasama dengan Ajai kerana baginya, lagu yang diberikan itu tidak bersesuaian dengan jiwanya.

“Abang Ajai beri beberapa lagu dan saya sudah dengar, tetapi saya tidak memberikan apa-apa jawapan dan membuatkan Abang Ajai menungggu keputusan saya.

“Abang Ajai pernah marah saya tetapi benda tu memberi pengajaran sehingga sekarang walaupun sudah bertahun tahun. Saya ada terjumpa abang Ajai di kedai makan dan saya duduk sebelah abang Ajai untuk mendengar pendapat dan nasihat dia.

“Saya tak melawan langsung sebab dia pun seorang ‘senior’ dan juga banyak hasilkan lagu yang baik. Di kesempatan ini saya nak minta maaf dekat orang lain yang pernah saya bekerja terutamanya abang Ajai.

“Walaupun saya dah pernah berjumpa dengan abang Ajai personally, tapi kita macam dah terus lupakan benda yang jadi,” jelas Hafiz.

Berkongsi lanjut, walaupun pernah menolak untuk bekerjasama dengan Ajai, tetapi komposer itu masih bersikap profesional ketika menjadi juri sebuah program nyanyian ketika Hafiz menjadi salah seorang peserta.

Dalam pada itu, Hafiz telah melancarkan sebuah single baharu yang berjudul Kembali Pada-Mu ciptaan dirinya sendiri bersama Fedtri Yahya.

Kembali Pada-Mu membawa ungkapan pengabdian dan penebusan yang mendalam, menyerlahkan kelunakan vokal Hafiz dalam menjalin bait-bait lirik, membawa permohonan yang mendalam kepada Tuhan.

“Liriknya juga menggambarkan kerinduan untuk membimbing seseorang yang telah sesat kembali ke jalan yang benar, memohon rasa harapan, pengampunan, dan hubungan semula rohani.

“Menerusi single baharu ini, saya mahu membawa kelainan dalam membawakan lagu yang berkonsepkan dakwah,” katanya.

Kembali Pada-Mu juga telah tersedia di platform penstriman digital bermula 23 Jun yang lalu.

Izzi Farhana