Pertemuan 2 Diva! Liza Hanim Berpadu Suara Dengan Shila Amzah Dalam ‘Bahagiakan Dia’

Buat julung-julung kalinya penyanyi Shila Amzah dan Liza Hanim berpadu suara menerusi lagu balada berjudul Bahagiakan Dia.

Sejak dilancarkan disemua platform digital pada 30 Jun yang lalu, gandingan tersebut ternyata mendapat sambutan hangat daripada peminat yang ternanti-nanti sebuah karya segar dan mampu memberikan nafas baharu kepada industri muzik tanah air.

Lagu yang berkisahkan tentang hati dan kehendak untuk membahagiakan seseorang begitu dekat dengan pendengar dan ia diterjemah dengan bait-bait lirik yang mudah difahami.

Bagi Shila, pastinya gandingan kali ini disifatkan cukup istimewa memandangkan dia bergandingan dengan Liza Hanim, satu nama yang amat dikagumi sejak dahulu.

“Memang ini merupakan satu penghormatan kepada saya dapat berpadu suara dengan Liza. Dia bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal sebaliknya mempunyai pengalaman yang luas.

“Kami berkongsi pelbagai perkara semasa proses rakaman bagaimana untuk ‘mencantikkan’ lagi lagu ini. Itu yang membuatkan saya teruja,” kata Shila.

Bahagiakan Dia merupakan lagu ciptaan komposer muda Aliff Iskandar manakala lirik pula hasil tulisan Aliff bersama Que Afiq.

Bagi Liza pula, selain teruja bergandingan dengan Shila, dia juga gembira dapat menyempurnakan karya Bahagiakan Dia yang disifatkan akan memberikan sinar baharu kepada mereka berdua.

“Memang saya teruja apabila dapat terlibat sama dalam karya ini memandangkan ini merupakan single terbaru untuk saya pada tahun ini.

“Sudah lama sebenarnya tidak menghasilkan lagu duet setelah kali terakhir bersama Zul 2 By 2 belasan tahun yang lalu. Ini merupakan kolaborasi semula dan saya teruja menantikan maklum balas daripada peminat,” kata Liza lagi.

Tambah pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-17 menerusi lagu Gelisah Mimpi ini lagi, dia tertarik saat kali pertama mendengarkan lagu Bahagiakan Dia.

Jelasnya, dia menganggap karya ini mudah diterima dan bersifat easy listening untuk mereka yang baru pertama kali mendengarkannya.

Untuk rekod Bahagiakan Dia sudah dilancarkan secara rasmi pada 30 Jun lalu manakala video muzik pula disiarkan pada 5 Julai lalu.

Padin