Populariti Makin Merudum, Tajul Beri Peluang Pada Bakat Baharu – “Saya Dah Merasai Segalanya Dahulu”

“Kita berada di atas pasti akan merasa di bawah juga bila sampai waktunya”

Demikian kata-kata penyanyi Tajul Ariff, 25, apabila mengulas mengenai kariernya kini yang dilihat merudum ketika ini.

Menurut Tajul atau nama lengkapnya, Tajul Ariff Noor Md Shari berkata, setiap selebriti akan melalui proses tersebut namun pelantun lagu Serpihan Rindu mempercayai rezeki yang diberi Tuhan.

“Saya masih dapat kekalkan apa yang saya miliki dan cukup. Setiap penyanyi akan melalui perkara yang sama.

“Ada masa di atas, ada masa di bawah. Kita percaya dengan dengan rezeki yang diberi, yakin rezeki anak isteri kita lebih meluas.

“Saya hanya mengikut sahaja apa jua ketetapan, selepas hampir 2 tahun saya menyepi, nama saya kembali melonjak apabila saya merakam semula lagu Malam Semakin Dingin bersama Afieq Shazwan,” kongsinya kepada XTRA.

Tajul ditemui ketika sambutan rumah terbuka Jom Raya Setikar bersama iQIYI di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam pada itu, adik kepada penyanyi popular era 1990-an, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari atau Achik Spin itu berkata kemanisan berada di puncak karier sebagai penyanyi sudah dirasai suatu ketika dahulu.

“Alhamdulillah sekarang ini saya masih kekalkan momentum itu dan konsisten. Insya-Allah.

“Saya dah merasai segalanya dahulu. Perkara ini sama sahaja, cuma apa yang membezakan adalah diri saya dahulu dan sekarang.

“Jadi sekarang mungkin masanya untuk bakat baharu mencipta nama dan mencari peluang dalam industri muzik,” katanya.

Khairil Khusyairi