Rapat Dengan Wanita Siap Digelar ‘Datin’, Afdlin Shauki Bakal Umum Status

Pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Afdlin Shauki menyatakan dia tidak menghiraukan kata warganet yang memanggil seorang wanita yang dilihat rapat dengannya sebagai ‘Datin’.

Malah, memetik laporan Harian Metro, Afdlin juga menyatakan dia sudah terbiasa dengan kata-kata warganet dan belajar untuk berdiam diri.

“Kalau mereka nak panggil apa pun, terpulang kepada mereka. Saya biarkan saja sebab saya dah biasa hidup dengan netizen.

“Saya dah pernah kena kecam, kena itu dan ini. Saya belajar satu benda iaitu saya diam saja,” ujarnya.

Sebelum ini, Afdlin ada memuat naik sekeping foto ketika keluar berbuka puasa bersama wanita yang dikenali sebagai Marcella itu di Instagramnya.

Walaubagaimanapun, Afdlin memaklumkan bahawa dia akan mengumumkan sesuatu pada Ogos ini mengenai statusnya.

“Insya-Allah, Ogos nanti saya akan ceritakan sebab bulan itu penting. Saya akan kongsikan mengenai status.

“Sekarang belum masanya. Halangan tak ada, cuma ada beberapa kerja dan urusan yang perlu diselesaikan dahulu,” jelasnya kepada Harian Metro.

Pelakon telefilem Bini-Bini Lockdown ini juga berkongsi bahawa dia mempunyai hubungan yang baik dengan bekas isterinya iaitu Maria Christina Orow Abdullah walaupun telah berpisah.

“Saya dengan bekas isteri saya pun okay. Saya beritahu perancangan saya kepadanya dan tak ada masalah.

“Saya jarang keluarkan gambar keluarga sebab bekas isteri saya jenis tak suka bergambar. Banyak orang minta nak ambil gambar di rumah, tapi dia tak bagi sebab dia lebih selesa menjaga privasinya.

“Saya menghormatinya dan kami pun dah bercerai lebih setahun lalu,” katanya lagi.

Untuk info, Afdlin berkahwin dengan Maria pada 1997 namun telah bercerai pada April 2022.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari