Rasa Diri Tak Cantik, Sherry Alhadad Akui Malu Dengan Lelaki… Berharap Temui Jodoh Yang Baik -“Impikan Suami Yang…”

Pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad mengakui sering rasa rendah diri dan tidak mempunyai keyakinan diri setiap kali berdepan dengan lelaki.

Menyedari dirinya tidak cantik seperti wanita ideal yang lain, Sherry bagaimanapun memilih untuk menonjolkan dirinya dalam sisi berbeza iaitu melalui personaliti diri.

“Saya seorang yang sangat berkeyakinan di atas pentas, dalam televisyen atau berjumpa dengan orang.

“Tapi bila dengan lelaki, saya jadi pemalu dan rendah diri.. rasa sangat kecil. Sebab itulah saya masih belum bertemu jodohnya lagi.

“Saya rasa saya tak cukup cantik yelah sebab kita pun dah tahu kalau wanita lawa idealnya begini, bentuk badannya begitu, saya selalu rasa tak tergolong dalam kelompok tu.

“Saya fikir saya tak berapa cantik, jadi untuk buat orang sekeliling saya ok dengan saya, saya lebihkan personaliti diri sendiri contohnya buat komedi.

“Bila saya dengan lelaki, selalu rasa rendah diri sampai rasa macam tak cukup semuanya,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media B.A.R.I.S.T.A. Misi Terpaling Sulit, minggu lalu.

Sherry berkata kali terakhir dia bercinta adalah ketika di zaman Aswara sebelum mengalami kekecewaan dalam percintaan.

Mengimpikan seorang lelaki yang menghormati ibu bapa, Sherry tidak menafikan ramai yang cuba mengenalinya namun dirinya terlalu sibuk bekerja.

Meskipun banyak mendengar kisah tidak manis dalam rumah tangga masa kini, Sherry tetap berhasrat mahu mendirikan rumah tangga dan tidak henti berdoa agar cita-citanya tercapai satu hari nanti.

“Pernah la bercinta dulu ketika zaman Aswara itu kali terakhir lepastu saya kecewa dalam percintaan.

“Ada lelaki yang cuba dekat dengan saya tapi saya terlalu sibuk, dan bila dah mengenali mungkin kami tak serasi.

“Sepi tu adalah, mesti kita nak cari teman hidup. Ada rakan-rakan yang cuba kenenkan, saya kenal sendiri pun ada.. mungkin masa belum tiba lagilah.

“Walaupun dengar pelbagai kisah dalam rumah tangga, tapi saya tetap nak berkahwin sebab setiap orang melalui pengalaman yang berbeza.

“Saya mahu yang hormat ibu bapa, yang boleh menjaga saya.. persefahaman itu pada saya penting.

“Insya-Allah, saya tak henti berdoa.. saya memang ada cita-cita untuk berkahwin, ada suami, anak-anak.. tapi belum sampai masanya apapun saya sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah berikan,” tuturnya.

Artikel Berkaitan: Masih Sayang Persahabatan, Sherry Alhadad Dedah Kali Terakhir Berhubung Nad Zainal Sebelum Berkahwin Dengan Ungku Ismail – “Tali Silaturahim Masih Ada, Dia Adik Saya”

Aqilah Paharuzi