#RoadToAJL37: Selepas Pertama Kali Jadi Finalis, Ini 5 Penyanyi Terus Melonjak Naik Selepas Sertai AJL!

Acara berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak asing lagi telah menjadi satu medan buat anak seni untuk menempa nama dalam industri hiburan menerusi karya-karya hebat mereka.

Tanpa sedar, anugerah kegemaran ramai ini sudah memasuki edisi ke-37 penganjurannya dan masih relevan untuk menonjolkan bakat finalis baik dari segi lontaran vokal, bait-bait lirik dan juga seni pentas dalam semua aspek kesenian.

Sepanjang tiga dekad, AJL yang memartabatkan lagu ciptaan komposer tanah air menyaksikan kemunculan dan kebangkitan ramai artis muda berjiwa besar untuk bersaing dengan penyanyi terkenal tanah air.

Sempena AJL37 yang bakal berlangsung pada Ahad ini, XTRA menyenaraikan lima artis popular muncul pertama kali menjadi finalis AJL sehingga nama mereka meledak terus dikenali dalam persada industri hiburan.

1. Datuk Seri Siti Nurhaliza

Penyanyi kelahiran Pahang, Datuk Siti Nurhaliza mula mengorak langkah ke pentas berpestij AJL seawal usia 18 tahun menerusi lagu Jerat Percintaan.

Kemunculan pertama penyanyi tersohor itu sekali gus meraih juara keseluruhan di AJL 11 pada tahun 1996.

Sejak kemenangan itu, bakat Siti yang bersuara lemak merdu ini mula popular, malah layak menyertai AJL sebanyak lapan kali bermula dari tahun 1996 hingga 2003.

Siti pernah bergelar juara sebanyak tiga kali dan memenangi lima kali untuk kategori persembahan terbaik di AJL.

Kemenangan Siti bermula di AJL dengan Jerat Percintaan (1996), Aku Cinta Padamu (1997), Cindai (1998), Hati Kama (1999), Balqis (2000), Ya Maulai (2001), Nirmala (2002) dan Ku Milikmu (2003).

2. Misha Omar

Kemunculan pertama penyanyi, Misha Omar lewat lagu Bunga Bunga Cinta pada AJL18 menjadi momen paling manis apabila dinobatkan sebagai juara utama termasuk merangkul anugerah vokal terbaik.

Malah, lagu fenomena hasil ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan itu sehingga kini menjadi siulan di corong radio dan terpahat dalam hati peminat.

Sejak detik itu, bakatnya terus meraih perhatian ramai dan berjaya menempah namanya dan tujuh kali layak menyertai AJL sekitar tahun 2003 hingga 2018.

Kemenangan Misha bermula di AJL 18 menjadi juara keseluruhan lewat lagu Bunga Bunga Cinta (2003), memenangi anugerah vokal terbaik di AJL 19 menerusi lagu Pulangkan (2004), merangkul gelaran naib juara AJL 31 untuk lagu hits lagu Ku Terima Seadanya (2016) duet bersama Hafiz Suip dan tempat ketiga lagu Sampai Bila (2018) serta memegang trofi vokal terbaik di AJL 33.

Misha pernah mempertaruhkan lagu hasil ciptaan sulungnya, Tanpa Rela, namun tidak berpeluang untuk mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), bagaimanapun Misha langsung tidak patah semangat.

3. Aina Abdul

Mula berkecimpung dalam industri seni sebagai peserta Mentor Legend dibawah anak didik penyanyi rock Ella, kemunculan pertama Aina Abdul dalam AJL 34 seakan membawa tuah kepada dirinya.

Berani mempertaruhkan lagu Sumpah hasil ciptaannya sendiri, Aina menampilkan persembahan berdarah yang mencetuskan kontroversi di mesia sosial. Susulan itu, nama Aina hangat menjadi perbualan ramai dek bakatnya yang mula diberi perhatian oleh ramai pihak.

Tidak berputus asa, penyanyi bervokal lunak ini berjaya menempa nama selama empat kali berturut-turut semenjak muncul buat kali pertama pada AJL 34.

Mencipta nama dalam AJL 35, Aina membawa lagu Semalam yang juga merupakan hasil nukilannya telah berjaya merangkul gelaran naib juara.

Seterusnya, Aina mendedangkan lagu nafas cinta bersama rakan duetnya, Khai Bahar di AJL 36 dan memenangi penyanyi pilihan popular.

Terkini, Aina sekali lagi membawakan lagu ciptaannya sendiri bertajuk ā€˜Terus Hidupā€™ di AJL 37 yang bakal berlangsung pada Ahad ini.

4. Khai Bahar

Mencipta nama melalui aplikasi Smule dan membuat video nyanyian di YouTube, penyanyi Khai Bahar wajar diberi perhatian apabila menyertai AJL 32 lewat lagu Bayang, hasil ciptaannya sendiri.

Semenjak kemunculan itu, Khai berjaya melayakkan diri menyertai acara berprestij ini sebanyak tiga kali iaitu dalam AJL 33 (Luluh), AJL 36, Nafas Cinta duet bersama Aina Abdul.

Terbaru, Khai mempertaruhkan single berjudul Sengsara yang akan dipersembahan pada AJL 37, Ahad ini.

5. Haqiem Rusli

Penyanyi muda, Haqiem Rusli antara bakat muda yang mencuri tumpuan ramai selepas berjaya mencipta nama menerusi lagu popularnya Tergantung Sepi.

Malah, lagu yang ditulis oleh Haqiem sepenuhnya itu berjaya dinobatkan sebagai tempat ketiga pada AJL32.

Setelah persembahan mantapnya itu, Haqiem secara berturut-turut menyertai AJL menerusi lagu genre yang berbeza dan berduet.

Menerusi AJL33, Haqiem kembali mempertaruhkan lagu Jatuh Bangun dan menampilkan Aman Ra. Seterusnya AJL 34 lewat lagu Lembah Kesepian dan AJL 36 membawakan lagu Lara bersama rakan seperjuangan Hael Husaini dan Naim Daniel serta single Mimpi.

Semenjak kemunculan dalam acara berprestij ini, Haqiem berjaya merangkul dua trofi AJL menerusi AJL 33 dan AJL 36.

AJL 37 bakal bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD, hanya eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my.

Sebanyak 12 finalis AJL 37 yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi, Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

Aqilah Paharuzi