Categories: HiburanTrending

Ross Ariffin 3 Tahun Hidup Menderita, Dulu Komposer Terkenal Kini Gelandangan Kaki Lima

Komposer dan penerbit ter­kenal, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 61, kini bergelar gelandangan dan hidup berpindah-randah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasar Seni dan juga Melaka.

“Saya tinggal di jalanan selama tiga tahun.

“Saya ke sana ke sini, tinggal di Pasar Seni dan juga di Melaka. Saya memang hidup gelandangan.

“Saya pernah tidur di kaki lima Pasar Seni, Kuala Lumpur serta mendapat makan di Pertiwi Soup Kitchen setiap hari,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, dia difahamkan sudah dua kali diserang penyakit ‘stroke’ (angin ahmar) sehingga menyebabkannya sukar untuk berjalan dan bercakap.

Malah, kehidupannya berubah secara total selepas penyakit jantung yang dihidapinya dek kerana menyebabkan dia sukar untuk bernafas dan kini tidak aktif untuk bergerak.

Menurut pencipta lagu Dia nyanyian Fauziah Latiff ini, dia hilang punca pendapatan sepenuhnya sejak Covid-19 melanda kerana sudah tidak dapat menghasilkan muzik.

“Saya ada dua anak tetapi tidak berhubung dengan mereka.

“Saya tidak mahu mereka bimbang dengan keadaan saya,” jelasnya.

Bahkan, dia berkongsi bahawa perkahwinannya dengan isteri telah berakhir sejak 10 tahun lalu sehingga dia terpaksa keluar dari rumah kediaman mereka.

“Saya ambil keputusan balik ke Melaka cuba cari pekerjaan dan perbaiki kehidupan dalam keadaan kesihatan sedikit terjejas,” jelasnya.

Memetik laporan Harian Metro, Ross pernah bekerja melipat tuala dan cadar di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Melaka tanpa bayaran kerana diberikan penginapan secara percuma.

Bahkan, dia turut bermain muzik setiap malam di sebuah restoran di negeri itu demi mendapatkan tempat tidur yang lebih selesa.

Susulan isu tular ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Ross.

Sumber: Harian Metro

Syamir Shafie