Saksi Ke-7 Maklum Ada 436 Gambar, 4 Video & 219 ‘Screenshots’ Dalam Telefon Ebit Lew

Saksi ketujuh perbicaraan bagi kes pendakwah bebas popular Ebit Lew memaklumkan kepada Mahkamah Majistret Tenom bahawa sebanyak 436 keping gambar diperoleh daripada sebuah telefon pintar jenama Samsung Galaxy A31 berhubung kes seksual itu dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut juruanalisis Kanan Audio Video PDRM ASP Latifah Abdul Aziz, 43 itu menyatakan bahawa terdapat juga empat rakaman video dan 219 gambar tangkap layar yang ditemui daripada telefon tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, Latifah memaklumkan telefon itu disimpan dalam sampul surat berwarna putih berkenaan telah dihantar ke makmal forensik PDRM Cheras, Selangor pada pukul 3.20 petang pada 9 Ogos 2021 di tempat bertugasnya.

Latifah juga telah membuat pemeriksaan fizikal untuk memastikan telefon itu tidak mengalami kerosakan dan berfungsi dengan baik sebelum analisis dijalankan pada tarikh yang sama.

“Saya menjalankan proses ‘extraction’ ke atas barang kes (telefon bimbit) dengan menggunakan perisian XRY dan mengenal pasti data yang diperlukan oleh pegawai penyiasat,” katanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad hari ini.

Lagi, beliau memaklumkan bahawa mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membuat analisa kandungan yang terdapat dalam telefon itu sebelum membuat salinan data yang diperoleh itu ke dalam dua cakera padat PDRM yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

Tambahnya, satu CD itu tersimpan 436 gambar beserta empat rakaman video manakala satu CD lagi mengandungi 219 gambar tangkap layar menerusi aplikasi Whatsapp.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Latifah turut memberitahu hasil pemerhatiannya mendapati empat video yang ditayangkan dalam mahakamah hari ini tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.

Hal ini dikatakan demikian kerana ke semua video berkenaan dimainkan bergerak secara ‘frame by frame’ kerana video yang telah disunting akan menjadi ‘jumping’.

Sebelum ini, Ebit berdepan 11 pertuduhan atas sebab mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan mengirim gambar lucah dan perkataan ke nombor telefon mangsa menerusi aplikasi Whatsapp antara Mac dan Jun 2021.

Jika disabit kesalahan, pesalah akan menerima hukuman maksima penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Walaubagaimanapun, prosiding kes akan disambung esok.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari