‘Sampai Hari Ini, Saya Masih Tak Percaya…’- Alif Satar

Meskipun bukan persembahan pertama bersama kumpulan Raihan, penyanyi Alif Satar mengaku tetap teruja setiap kali diberi peluang bekerjasama dengan mereka.

Alif ketika ditemui di sidang media konsert amal Countless Blessing Alif Satar & Raihan memberitahu dia tidak menolak untuk terus bekerjasama dengan Raihan dalam projek akan datang.

“Saya membesar dengan lagu-lagu kumpulan Raihan, sudah tentu begitu banyak kenangan sejak kecil yang berkait dengan kumpulan ini.

“Sampai hari ini, saya masih tidak percaya dapat berkongsi pentas dalam beberapa projek khas yang menggabungkan kami.

“Jujurnya saya tidak pernah tertekan bekerja dengan artis lagenda malah teruja untuk terus belajar dengan mereka yang lebih berpengalaman,” katanya ketika ditemui Xtra.

Alif dan Raihan bakal menjayakan konsert amal, Countless Blessing di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara pada 2 November depan.

Konsert anjuran Philandure dan Komited Malaysia itu diadakan bagi mengumpul dana untuk enam pertubuhan terpilih.

“Sebelum ini kami pernah bekerjasama dalam sebuah program amal pada bulan Ramadan lalu cuma ketika itu, kami hanya menghiburkan sekitar 200 orang.

“Konsert kali ini berskala lebih besar dan saya berharap inisiatif untuk mengumpul dana bagi tujuan amal ini mendapat sambutan baik peminat,” akhirinya.

SGMS Faida