“Sampai Hati Kau Kenakan Orang Buta…” – Caliph Buskers Merayu Minta Bayaran

Ahli kumpulan Caliph Buskers iaitu Fendy Adlun terpaksa merayu kepada pihak penganjur sebuah acara di Pulau Pinang untuk membayar wang persembahan mereka pada 9 dan 10 Disember lalu.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Fendy memberitahu pihak tersebut seolah-olah mengelak dan memberi pelbagai alasan.

Menurutnya, pendapatan mereka hanya bergantung dengan persembahan pentas dan busking dan sangat memerlukan wang berkenaan.

“Kami sudah bertolak ansur tidak memaksa memberi deposit yang sepatutnya kami ambil, sekarang kami juga mohon agar pihak berkenaan dapat membayar paling tidak separuh dahulu kepada kami.

“Sampai hati kau kenakan orang buta. Kalau aku boleh kerja macam kau, tak apa. Tapi inilah kerja yang kami ada. Kalau tak buat persembahan pentas, busking.

“Busking pun kau faham-faham lah musim hujan sekarang. Kadang-kadang busking pun tak dapat apa-apa. Jadi, bila ada show barulah sedap sikit,” katanya.

Difahamkan, pihak penganjur berkenaan menjanjikan bayaran sebanyak RM10,000 kepada kumpulan Caliph Busker.

Tambahnya lagi, demi menjayakan acara tersebut, mereka telah menolak beberapa undangan lain kerana percayakan penganjur berkenaan.

Malah, ada diantara mereka yang ke Pulau Pinang tanpa sebarang wang kerana mengharapkan bayaran selepas selesai persembahan.

“Kalaulah kalian tahu, kami sudah pun menolak beberapa undangan lain kerana mahu memenuhi undangan kalian.

“Ada juga antara kami yang datang ke tempat kalian tanpa membawa satu sen pun kerana mengenangkan janji kalian untuk membayar kami setelah selesai kami membuat persembahan,” ujarnya.

Untuk rekod, selain Fendy, Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi Saat sebagai vokalis, Zaki Ismail sebagai gitar bass dan Nirwan Zainalabidin sebagai pemain gitar.

Maya Basir