Sanggup Botak Demi Sebuah Watak, Elisya Sandha Akui Dah Bersedia Nak Tambah Cahaya Mata

Pelakon Elisya Sandha memberitahu sanggup membotakkan kepalanya demi menjayakan sesebuah watak.

Memetik laporan Berita Harian, meskipun sedar akan memberi kesan kepada tawaran berlakon pada masa akan datang, Elisya mengambil perkara tersebut sebagai satu cabaran.

“Saya okay kalau kena botakkan kepala. Saya tahu tindakan saya akan beri kesan pada tawaran seterusnya tapi saya boleh cari cara, misalnya pakai rambut palsu dan sebagainya. Kena pandailah,” ujarnya.

Malah, dia juga bersyukur dikelilingi oleh ahli keluarga yang menyokong tindakannya itu.

“Itu sebab untungnya ibu mentua dalam industri seni, dia faham. Ketika potong gaya ‘side cut’, dia tak tanya kenapa saya buat begitu, malah memahami saya lakukan untuk karakter.

“Sebab untuk ke tahap seterusnya, saya kena berani. Misalnya potong rambut dan botakkan kepala dan sebagainya. Sebab itulah saya belajar dari kakak, Fasha Sandha dan ibu mentua.

“Suami juga adalah orang yang paling okay sebab pengarah dan faham,” jelasnya.

Disoal mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata kedua, Elisya akui sudah bersedia memandangkan puteri sulungnya, Bunga Elhaq kini sudah berusia dua tahun.

“Saya ada banyak perancangan untuk 2024. Antaranya, saya mahu seorang lagi anak. Tapi kalau rezeki belum lagi, saya akan fokus pada karier sebab masih membina nama dalam industri ini.

“Sebenarnya, saya sudah biasa dengan rutin sebagai ibu. Bunga mengajar saya sebagai wanita bekerjaya yang pandai menyeimbangkan semuanya.

“Jadi, bila sudah biasa, untuk ada seorang lagi cahaya mata, insya-Allah tiada masalah,” katanya.

Untuk rekod, Elisya dan suami, Uzair Haqimy mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Bunga Elhaq.

Maya Basir